Hadi Awang kata haram perpaduan tanpa ikut petunjuk Allah

Hadi Awang kata haram perpaduan tanpa ikut petunjuk Allah

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, hanya perpaduan yang mengikut hidayah (petunjuk) Allah sahaja akan membawa berkat, berwawasan kukuh dan kekal, daripada dunia hingga akhirat.

Bagaimanapun jelas Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, perpaduan tanpa petunjuk Allah SWT tersebut pula adalah diharamkan, disebabkan oleh kerapuhannya.

“Ikatannya yang membawa padah di dunia dan akhirat kerana pelaksanaannya tidak berprinsipkan aqidah dan tidak mempunyai konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar yang mengawal kehidupan manusia serta pergaulannya dalam bermasyarakat.

“Hal ini disebabkan tiada asas aqidah untuk mengawal diri dan tidak berakhlak,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi ruangan Minda Presiden Pas bertajuk “Perpaduan yang wajib dan haram” yang disiarkan di akaun Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Hadi menjelaskan Rasulullah SAW melaksanakan konsep perpaduan ketika menegakkan negara di Madinah dengan menyatukan penganut Islam dalam kalangan Muhajirin (yang datang daripada luar Madinah) dan Ansar (penduduk asal Madinah).

Katanya, perpaduan itu kemudiannya, diikuti pula dengan penyertaan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem dan berdamai dengan pelbagai agama, sama ada dari Madinah dan dari luarnya mengikut sempadan yang telah ditetapkan.

“Mereka semua termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam, penganut dan negaranya. Semuanya telah dirakamkan dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang terkenal.

“Konsep perpaduan yang menerima Islam memimpin, hukum Islam adalah tertinggi bagi menyelesaikan semua masalah yang berlaku dengan adil dan saksama, serta hak kebebasan beramal dengan agama masing-masing yang dijamin dalam al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Hadi dalam pada itu menjelaskan, Islam menegaskan bahawa perpaduan itu wajib dipimpin oleh Islam yang bercirikan keimanan kepada aqidah, syariat dan akhlaknya yang terdapat pada kepimpinan, bukan sekadar mempunyai ilmu dan pengaruhnya sahaja tanpa hidayah Allah SWT.

Pada masa yang sama, perpaduan itu katanya disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan tidak memusuhi Islam, serta melarang dengan hukum haram daripada bersama dengan golongan yang nyata ekstrem dan bermusuh terhadap Islam dan penganutnya.

Namun katanya, Islam mengharamkan sebarang hubungan yang menghilangkan kepimpinan Islam atau tidak menegaskan kedaulatan Islam atau tiada kuasa Islam untuk mentadbir kehidupan manusia.

“Begitu juga, apabila bersama kalangan yang nyata bermusuh terhadap Islam, sama ada mereka yang menghina ajarannya atau bermusuh terhadap penganutnya atau bersikap melampau mahu berkuasa terhadap umat Islam. Bahkan, kalangan Islam yang melakukan perkara sedemikian dianggap munafiq.

“Rasulullah SAW beristiqamah dengan tegas berpegang kepada prinsip dan konsep yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT, sehinggakan Baginda sanggup membatalkan hubungan dengan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar syarat dan adab perpaduan dalam Islam,” tambahnya.

Hadi sebelum ini pernah menyatakan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan kerajaan perpaduan sebaliknya cuma “kerajaan minoriti.”

Beliau juga menuduh parti “bukan Islam” DAP mempunyai lebih banyak suara dalam kerajaan, ketika menjelaskan kenapa PN menolak saranan Yang di-Pertuan Agong supaya gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Ini meskipun daripada 148 ahli parlimen yang menyokong Anwar sebagai ahli parlimen, wakil rakyat Melayu merupakan jumlah paling ramai dengan 50 daripada mereka adalah berketurunan Melayu.

Ini diikuti oleh ahli Parlimen Cina, dengan 43 orang, bumiputera Islam dari Sabah dan Sarawak (27), bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawakr (16) dan India atau kaum-kaum lain (12).