Hanya pandai masak maggi, wanita ini diceraikan suaminya

Hanya pandai masak maggi, wanita ini diceraikan suaminya

Pada zaman ini, kehidupan yang serba mencabar dan sibuk menyebabkan kebanyakkan pasangan muda yang berkerja lebih menyesuaikan diri dengan makanan ‘fast food’ atas faktor kekangan masa.

Namun keadaan sedikit berbeza buat seorang lelaki di India apabila memutuskan untuk menceraikan isterinya kerana wanita itu hanya pandai memasak mi segera.

Menurut New Indian Express, perkara itu dikongsikan hakim utama daerah dan mahkamah sesyen, ML Raghunath kepada mereka baru-baru ini.

Menurut Raghunat, kes yang berpunca dari isu kecil ini berlaku semasa beliau menjadi hakim di daerah Ballari, Karnataka.

Pagi sampai malam makan ‘maggi’

“Lelaki itu memberitahu isterinya tidak pandai menyediakan makanan lain selain mi segera. Bahkan, mi segera tersebut disediakan pada setiap kali waktu sarapan, makan tengah hari, dan makan malam.

“Dia turut mengadu bahawa isterinya pergi ke kedai dan hanya membawa balik mi segera,” kata Raghunath.

Menamakannya sebagai ‘kes maggi’, akhirnya pasangan terbabit telah bercerai atas persetujuan bersama.

Anak-anak menjadi penyelamat perkahwinan

Raghunath turut menegaskan bahawa tugasan untuk menyelesaikan pertikaian sesuatu kes perkahwinan adalah sedikit rumit dan kebanyakan darinya akhirnya membatalkan penceraian kerana memikirkan nasib anak-anak mereka.

“Kami menggunakan sentimen anak-anak dalam kalangan pasangan dan menyatukan mereka semula.

“Ia lebih kepada masalah psikologi berbanding fizikal. Daripada 800 hingga 900 kes, kami hanya berjaya menyelamatkan 20 hingga 30 kes sahaja,” ujarnya lagi.

Bahkan mahkamah di India pernah menerima kes penceraian oleh pasangan hanya sehari selepas perkahwinan mereka. Pelbagai punca yang dianggap sebagai isu kecil telah menjadi penyebab kepada penceraian.

Kes penceraian meningkat secara drastik

“Kes penceraian meningkat secara drastik dari tahun ke tahun. Pasangan perlu tinggal bersama sekurang-kurangnya setahun sebelum bercerai. Jika tidak ada undang-undang seperti itu, akan ada petisyen cerai yang difailkan terus dari dewan perkahwinan.

“Kami mendapat petisyen cerai lebih banyak dari kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar. Di kawasan luar bandar, wanita tidak mempunyai kemerdekaan dan ketakutan mereka terhadap masyarakat dan sentimen keluarga memaksa mereka untuk menghadapi situasi tersebut. Tetapi di bandar, wanita berpendidikan dan mempunyai pendapatan sendiri,” ujar Raghunath.