Harga barang: Mat Sabu ingatkan rakyat jangan mudah lupa selepas ‘disogok’
PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu hari ini memberi bayangan mengingatkan orang ramai supaya membuat pilihan bijak menentukan pentadbiran negara pada masa akan datang.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, situasi kini agak meruncing dengan kenaikan harga barang sekali gus mendatangkan kemarahan ramai.
Namun dalam nada sindiran, katanya, apabila tiba saat mengundi kebanyakan orang lupa ‘penderitaan’ kenaikan harga barang itu selepas disogok dengan wang ringgit.
“Hari ni memang la mengamuk sakan harga barang mendera. Nanti bila nak mengundi, dapat RM100 dari parti perasuah, jangan pula kata ‘biarlah harga barang menyiksa kita pun!,” katanya, lapor Malaysiapost.
Media melaporkan mulai 1 Julai ini, kerajaan memansuhkan subsidi penternak ayam sebaliknya subsidi akan diberikan kepada rakyat yang memerlukan khususnya golongan B40.
Manakala harga semua barang keperluan dijangka melonjak sekitar 50 hingga 60 peratus mulai bulan Jun susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Malah beberapa harga barangan keperluan asas seperti ayam, daging dan hampir semua sayur-sayuran telah menyaksikan peningkatan sebelum Aidilfitri lalu.
Lonjakan harga barang semakin dirasai apabila rangkaian Eco Shop yang popular dengan harga setiap barangnya hanya RM2.10 turut mengumumkan kenaikan harga di semua rangkaiannya kepada RM2.40 mulai 1 Jun ini.