Harga telur ayam naik

Harga telur ayam naik

Harga telur mengalami kenaikan antara 30 hingga 50 sen bagi satu papan 30 biji sejak tiga minggu lalu.

Perkara itu diakui pemborong telur di bandar raya ini dan Tumpat yang memaklumkan harga barangan itu naik disebabkan beberapa faktor, termasuk peningkatan kos di ladang.

Pemborong telur yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 40, berkata harga telur naik antara 30 hingga 50 sen bagi kuantiti 30 biji sejak tiga minggu lalu.

“Harga naik (telur) kerana kita mendapat harga telur yang sudah tinggi dari pihak ladang.

“Kemungkinan harga naik kerana kos di ladang meningkat, termasuk dedak ayam, gaji pekerja dan pengangkutan. Jika sebelum ini, harga 30 biji telur RM10.80 bagi gred C, kini meningkat RM11.10.

“Gred B pula dijual RM12.30 dan sebelum ini RM11.80. Begitu juga gred A dan AA yang turut meningkat antara 30 hingga 50 sen bagi 30 biji,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, berikutan kenaikan harga itu dia menerima rungutan daripada pembeli yang berasa terbeban dengan peningkatan harga telur.

“Kenaikan dan penurunan harga telur sering berlaku mengikut kepada kenaikan kos di ladang,” katanya.

Sementara itu, peruncit, Nor Azila Ramli, 45, berkata walaupun harga telur naik, dia tetap menjual pada harga yang sama iaitu RM2 bagi lima biji telur gred C.

“Saya dapat harga yang sedikit tinggi daripada pemborong tetapi saya tetap jual pada harga normal kepada orang kampung.

“Saya tidak mahu memikirkan keuntungan kerana niat saya mahu membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya ketika ditemui di Wakaf Bharu di sini.