Hari agama: Orang kafir pun tak terhegeh-hegeh!
ASTAGHFIRULLAHALAZIM. Ini kali pertama saya lihat sambutan yang meraikan agama lain yang diabsahkan dengan ayat al-Quran sedemikian rupa. Sangatlah mendukacitakan.
Sefaham saya, Hari Agama Sedunia atau World Religion Day adalah perayaan orang beragama Baha’i di mana teras agama tersebut adalah menggabungkan aqidah semua agama.
Ini bermakna, hari tersebut adalah perayaan keagamaan dan ianya memang jelas dilarang dalam Islam.
Dosa terbesar dalam Islam adalah syirik kepada Allah. Mempergunakan ayat al-Quran untuk seolah-olah mengabsahkan kesyirikan adalah sesuatu yang terkutuk. Apatah lagi ayat 13 daripada Surah Al-Hujurat adalah mengenai perkara lain.
Jika ingin mengatakan ianya kesilapan yang tidak disengajakan, saya berpendapat sebaliknya. Mana mungkin sesuatu yang kamu perlu letakkan ketelitian dan tenaga seperti membuat poster sebegini adalah sesuatu yang tidak sengaja. Lagi-lagi sampai perlu ‘pilih’ dalil.
Pluralisme dan liberalisme agama itu adalah suatu perangkap yang telah menjerat ramai umat Islam yang terlalu terhegeh-hegeh ‘try hard’ dengan toleransi. Orang kafir apatah lagi penganut Baha’i di Malaysia pun tidak begitu. Malulah.
Saya teringat satu ketika dahulu ketika arus pluralisme agama mula-mula melanda negara kita. Kemuncaknya, sebuah suruhanjaya iaitu Interfaith Commision (IFC) ingin ditubuhkan melalui kuasa Parlimen yang mampu menidakkan kuasa autoriti agama Islam dan mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Alhamdulillah, dengan bantahan kuat oleh NGO-NGO Islam dan Majlis-Majlis Agama Islam, ianya berjaya digagalkan.
Apa-apa pun, hal Hari Agama Sedunia ini perlu dipandang serius oleh para autoriti agama seperti jabatan-jabatan Mufti, Majlis-Majlis Agama Islam, JAKIM dan Menteri AGAMA. Satu ketetapan khusus bahawa perayaan ini diharamkan untuk disambut oleh umat Islam apatah lagi mempergunakan ayat al-Quran bagi mengabsahkannya perlu diadakan segera.
Toleransi ada batasannya. Dan batasan itu sudah ‘clear cut’!
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
16 Januari 2022