Hijrah ke arah kebaikan, bersama menuju ke syurga
Perubahan adalah satu sunnatullah atau peraturan Ilahi yang pasti berlaku di alam semesta ini. Tidak ada sesuatu pun yang wujud di atas muka bumi ini melainkan pasti akan menghadapi perubahan sama ada secara fizikal mahupun secara spiritual. Allah SWT memberikan contoh yang jelas berkaitan perubahan yang berlaku dalam diri manusia.
Menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah jua yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.” (Surah al-Rum, ayat 54)
Islam dalam sejarah kelangsungannya di atas pentas kehidupan ini adalah agama yang amat menekankan pentingnya perubahan. Proses perubahan tersebut tidak hanya terhad pada sifat dan perilaku manusia, malah ia turut menganjakkan paradigma pemikiran dan sistem kehidupan. Perubahan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang agenda utamanya adalah untuk melakukan perubahan iaitu perubahan daripada kehidupan yang penuh jahiliah, kekufuran, kezaliman dan sebagainya kepada kehidupan yang penuh keimanan, keadilan dan kesejahteraan sejati.
Inilah yang ditegaskan Allah SWT sebagai perubahan daripada kegelapan kepada cahaya iman.
Allah SWT berfirman: “Alif Lam Raa. Ini ialah kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhamad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim, ayat 1)
Jelas di sini bahawa manusia amat dituntut supaya melakukan perubahan dalam kehidupan mereka iaitu berubah daripada keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang baik dan juga daripada keadaan yang baik kepada keadaan yang lebih baik lagi.
Barangkali inilah maksud Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Makkah, tapi dengan jihad juang dan niat yang tulus dan bila kamu diperintahkan berjihad maka hendaklah kamu patuhinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hijrah di sini bukan bermakna kita cuba melarikan diri atau mahu menyerah kalah, sebaliknya ia lebih merupakan salah satu koleksi nostalgia silam bermotifkan menyedarkan umat Islam tentang persediaan untuk menyusun strategi di dalam medan perjuangan yang penuh cabaran dan dugaan dan juga merupakan satu tuntutan komitmen berasaskan ketulusan niat, kekentalan azam dan kemantapan iman serta menyimpul kemas satu keyakinan baharu untuk mencapai kesejahteraan hakiki dan juga kebahagiaan yang abadi di dunia dan akhirat.
Di samping itu, Allah SWT juga memerintahkan umat Islam supaya melakukan perubahan sebagai mana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki untuk menimpakan sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)
Di dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman, maksud ayat di atas menjelaskan mana-mana kaum yang hidup senang lenang dan aman damai disebabkan oleh iman dan taat kepada Allah SWT, juga oleh akhlak yang mulia dan terpuji. Sehubungan itu, Allah tidak akan mengubah keadaan mereka yang baik itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dari iman dan taat kepada kufur dan maksiat dan dari akhlak yang mulia kepada akhlak yang keji kerana segala sifat dan perbuatan yang jahat dan keji itulah sebab yang membawa kehancuran. Demikianlah sunnatullah atau undang-undang peraturan Allah yang tetap berlaku kepada sekalian makhluk-Nya.
Meninjau senario umat Islam kini, betapa mereka terhumban jauh dalam persaingan hidup dengan bergelut pelbagai kancah kegawatan dan krisis yang mewajarkan umat Islam kini terhimpit dengan kemelut kemunduran, kemiskinan, kejahilan, perpecahan, perbalahan sesama sendiri, kelemahan, kemelaratan, malahan terheret sama ke arah kehancuran akhirnya. Ironisnya, kehidupan umat Islam kini sudah begitu sinonim dan sebati dengan krisis dan kemelut yang membelenggu di sepanjang perjalanan hidup mereka dan tidak hairanlah umat Islam kini dilabelkan dengan pelbagai jolokan yang menjatuhkan maruah dan imej mereka pada kacamata dunia seperti umat mundur, umat pelampau, umat konservatif atau jumud, umat akhirat semata-mata dan sebagainya. Umat Islam seolah-olah begitu rela dan reda dengan gelaran yang sedemikian, padahal semuanya itu menjatuhkan air muka mereka sendiri dan akibatnya mereka begitu daif dan ketinggalan untuk bersaing dan meneruskan kesimbungan Islam di persada dunia yang begitu mencabar.
Sebenarnya, krisis demi krisis yang menimpa umat Islam ini bukan hanya melibatkan kepada segelintir umat Islam sahaja, malahan ia turut melibatkan semua lapisan masyarakat Islam sama ada individu Muslim sendiri, institusi keluarga Muslim, masyarakat Islam dan juga kerajaan Islam. Semua mereka mempunyai sumbangannya yang tersendiri dalam menentukan hala tuju dan visi sesuatu bangsa. Seandainya setiap pihak dari warga Muslim berperanan sebaik-baiknya menurut ketentuan Ilahi, sudah pastinya keunggulan dan kecemerlangan menjadi milik mereka dan sebaliknya, jika tidak, kedaifan dan kemalapan juga yang melingkari hidup mereka sampai bila-bila.
Justeru, perubahan amat penting dilakukan bermula dari sekarang dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada dari segi pemikiran, pemahaman, penghayatan dan pengamalan secara menyeluruh terhadap ajaran Islam selaras dengan firman Allah SWT.
Menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 208 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hokum-hakamnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi kamu.”