Hina Islam di kelab komedi, akhirnya lelaki ini ditahan polis

Hina Islam di kelab komedi, akhirnya lelaki ini ditahan polis

Polis mengesahkan pihaknya menahan seorang lelaki semalam, bagi membantu siasatan berhubung penularan dua klip video di sebuah kelab komedi yang didakwa menyentuh sensitiviti dan berbaur berkauman.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JST) Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang cenderung menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi melengkapkan proses siasatan,” katanya menerusi kenyataan.

Noorsiah berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya, selepas siasatan dari segala sudut selesai.

“Siasatan masih dijalankan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta kenyataan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Semalam, Getaran melaporkan, pemilik bersama sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Rizal Van Geyzel ditahan polis dan perkara itu disahkan peguamnya, Ramkarpal Singh.

Beliau menegaskan, Rizal ditahan selama 24 jam susulan penularan tiga klip video didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi tersebut.

Menurut beliau, anak guamnya akan dihadapkan ke mahkamah kira-kira jam 10 pagi ini bagi mendapatkan perintah reman agar siasatan lebih lanjut dapat dijalankan polis.

Terdahulu, tular sebuah video di aplikasi TikTok memaparkan seorang wanita berpakaian sopan dan bertudung, memperkenalkan diri kepada penonton ketika membuat persembahan acara ‘stand up comedy’ yang dipercayai berlangsung di sebuah premis hiburan.

Bagaimanapun, selepas memberitahu dirinya seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk dalam Al-Quran, wanita tersebut membuka tudung serta baju kurungnya.

Susulan video yang menerima kecaman pelbagai pihak itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjalankan siasatan kerana tindakan wanita terbabit disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap Islam.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam isu penghinaan terhadap Islam.

Isu tersebut semakin hangat apabila ia menerima kecaman pelbagai pihak, selain membawa kepada perkongsian beberapa video memaparkan bahawa Rizal Van Geyzel turut membuat persembahan di premis hiburannya itu dengan memperlekeh dan menghina Islam serta kaum Melayu.