Hukum makan ubat tahan sakit haram? Jom baca ini
Penceramah bebas, Ustazah Siti Afifah sekali lagi menjadi kontroversi apabila mendakwa hukum pengambilan ubat tahan sakit adalah haram.
Dakwaan itu dibuatnya menerusi sebuah video yang kini tular di media sosial.
Menurut Ustazah Siti Afifah, amalan dan doa seseorang tidak diterima oleh Allah sekiranya benda haram memasuki tubuh hingga mengakibatkan mereka meninggal dalam keadaan hina dan bakal menghuni neraka kerana melanggar syariat agama.
“Sedikit atau setitik benda yang haram memasuki tubuh badan kamu, 40 hari amalan kamu tidak akan diterima dan doa tidak akan diangkat.
“Sekiranya Allah mengambil nyawa kamu dalam tempoh itu, maka kamu akan meninggal dalam keadaan yang hina kerana melanggar hukum syariat islam,” katanya dalam video itu.
Dakwaannya itu nyata membuatkan sebilangan warga maya jadi keliru.
Malahan, ada di antara warga maya turut mengeluh kerana kehidupan sememangnya perlu bergantung pada ubat tahan sakit.
“Ya Allah. Saya adalah individu yang kerap makan ubat tahan sakit. Jika tidak makan ubat, saya tidak mampu berjalan, tidak mampu duduk dan tidak boleh solat,” ciap seorang pengguna seperti dilapor Kosmo hari ini.
“Jika kerana makan ubat tahan sakit menyebabkan amalan tidak diterima selama 40 hari, agaknya bagaimana pula dengan mereka yang perlu makan ubat sakit perut. Entah apalah agaknya hukum,” ujar seorang lagi netizen.
Terdahulu, pendakwah bebas tersebut pernah menjadi tumpuan ramai susulan kenyataannya yang mendakwa suami adalah ‘dayus’ jika membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran.