i-Citra: Najib tidak mengaku buat u-turn

i-Citra: Najib tidak mengaku buat u-turn

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak membuat ‘u-turn’ berhubung tuntutan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, pendirian beliau terhadap pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 itu tetap sama.

Katanya, tuntutan yang dicadangkan oleh Umno itu tidak ada kaitan dengan bantuan banjir oleh kerajaan.

Menurutnya, beliau hanya ingin memberi penghargaan kepada kerajaan kerana menerima pandangan serta pendapat dari semua pihak termasuk dirinya dalam menaik taraf bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

”Tapi kan hari itu saya rayu agar bantuan banjir dinaikkan? Lepas dinaikkan, saya wajib puji dan senaraikan bantuan baru kerajaan,” katanya, memetik Malaysiapost.

Najib berkata demikian bagi menjawab sindiran netizen selepas beliau menyifatkan bantuan-bantuan diumumkan kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir adalah terbaik.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Antaranya, Bantuan Wang Ihsan ((BWI) sejumlah RM1,000 untuk setiap Ketua Isi Rumah terkesan dan bantuan kematian RM10,000 kepada waris mangsa⠀

Sumbangan pembelian barang keperluan sejumlah RM2,500 bagi mangsa yang mengalami kerosakan barangan/peralatan rumah akibat kediaman ditenggelami air.