i-Citra: Umno letak beban menteri kewangan, tak mahu salahkan PM
KENYATAAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkaitan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan membandingkan musibah banjir besar 2014 dengan keadaan rakyat masa kini disifatkan bongkak dan angkuh.
Itu respon Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran video di Facebook miliknya.
“Assalamualaikum, Tengku Zafrul. Kenapa perlu buat kenyataan bongkak dan angkuh membandingkan peristiwa banjir 2014 dengan keadaan rakyat yang sedang terdesak sekarang ini, meminta dan menuntut pengeluaran kali terakhir wang simpanan mereka di KWSP.
“Dulu kita tak berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang luar biasa sifatnya, dulu kita tak berhadapan dengan rakyat dikurung begitu lama… Ramai yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji, dipotong separuh gaji.
“Ramai yang berniaga lingkup tak dapat beroperasi.. ramai yang berhutang sana sini.. ramai komitmen bulanannya yang tertunggak sehingga hari ini. Sebab itulah mereka menuntut agar diberikan peluang untuk keluar wang mereka sendiri walaupun wang ini untuk masa depan,” katanya.
Asyraf berkata, keadaan rakyat kini sangat terdesak dan tersepit kerana kesan daripada pandemik Covid-19 serta bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, maka sekiranya pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 tidak dibenarkan, justeru apakah jaminan untuk masa depan mereka.
“Hari ini pun mereka tidak dapat untuk meneruskan dan melangsungkan kehidupan mereka serta keluarga.
“Mereka mengharapkan kerajaan untuk membantu, tetapi bantuan kerajaan tidak cukup.
“Namun, kami membawa suara mereka pun dituduh sebagai penghasut.. kami tidak menghasut rakyat, tetapi kami hanya menyuarakan apa yang rakyat rasai di bawah ini. Kami hanya menjadi jurubicara rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil turut menyuarakan rasa ketidakpuasan terhadap kenyataan Menteri Kewangan itu.
“Zafrul, rakyat telah minta i-Citra one-off sejak September 2021 lagi, bukan lepas banjir, dan mereka minta untuk keluarkan wang mereka sendiri sebab mereka terkesan teruk akibat lockdown PKP Covid-19 dan ditambah lagi dengan banjir antara terburuk dalam sejarah, dua musibah besar bertimpa ini bukanlah seperti bencana banjir setiap tahun.
“Usah beri alasan simpanan hari tua untuk sukarkan lagi keadaan mereka yang telah pun amat sukar. Jika rumah sedang terbakar, jangan suruh simpan air untuk mandi esok. Jika anak sedang kebulur hari ini, buat apalah disimpan duit untuk minggu depan.
“KWSP adalah Kumpulan Simpanan Wang Pekerja, bukan Kumpulan Wang Simpanan Kerajaan. Belajarlah fahami masalah rakyat,” katanya.