Ingat! Kerajaan akan tarik lesen peniaga tidak vaksin

Ingat! Kerajaan akan tarik lesen peniaga tidak vaksin

Tindakan tegas termasuk membatalkan lesen perniagaan akan diambil kepada peniaga negeri ini yang tidak mahu divaksin.

Exco Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, tindakan itu sebagai jaminan serta memberikan keyakinan kepada orang ramai termasuk pelancong sekiranya gerbang pelancongan domestik dibuka dijangka Oktober dan November depan.

Menurutnya, usaha itu mampu mengekang penularan pandemik Covid-19 dan orang ramai akan rasa lebih selamat sekali gus peniaga-peniaga mendapat limpahan rezeki menerusi pelancongan domestik.

“Kita telah beri nasihat dan amaran, tapi kalau masih ada peniaga yang tidak mahu vaksin, saya sendiri akan mengambil tindakan tegas dan menutup perniagaan mereka kerana kita tidak mahu hanya kerana seorang, kes kembali meningkat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak rumah Projek Baiti Jannati TNB Melaka di Kampung Baroh, Bachang, di sini pada Selasa.

Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, dianggarkan kira-kira 80 peratus peniaga dan penjaja kecil telah lengkap menerima vaksin.

Menurutnya, kerajaan negeri telah memberikan beberapa kemudahan termasuk memberi peluang orang awam ‘walk in’ untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti PPV Mega Stadium Hang Jebat.

“Saya minta peniaga-peniaga yang masih belum vaksin datanglah segera,” katanya, lapor Sinar Harian.