Ini 5 momen Malaysia tewaskan Bangladesh dan layak ke Piala Asia 2023

Ini 5 momen Malaysia tewaskan Bangladesh dan layak ke Piala Asia 2023

Malam yang indah di SBNJ penyokong Harimau Malaya berpesta , bersorak sambil berchant ramai-ramai khususnya untuk perwira negara skuad kebangsaan setelah berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia 2023 di China tahun hadapan.

Harapan yang disandarkan kepada skuad Kim Pan-gon yang membuat perubahan kepada kesebelasan utama menunjukkan begitu serius jurulatih itu mahukan kemenangan demi penyokong negara.

Seawal minit permainan , skuad kebangsaan tidak membenarkan Bangladesh untuk menguasai bola sebaliknya mereka melancarkan serangan ke arah kubu lawan.

Percubaan dari Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid pada minit ke-5 dan 11 nyata menunjukkan mereka kehausan kemenangan.

Peluang itu sampai untuk Malaysia selepas Atiqur Rahman menjatuhkan Mathiew Davies dalam kotak penalti dan pengadil terus memberikan sepakan penalti.

Safawi Rasid dengan tenang menyempurnakan penalti itu dan gol pertama bagi skuad kebangsaan.

Ini memberikan suntikan semangat untuk Malaysia terus mengasak dan hampir menambahkan gol kedua oleh Safawi Rasid namun digagalkan oleh penjaga gol.

Benteng Malaysia hampir ditembusi pada minit ke 25 tetapi percubaan dari luar kotak penalti jauh melewati palang.

Tetapi Bangladesh menyentap semangat penyokong dan pemain kebangsaan dengan menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyerang mereka Mohammad Ibrahim menerusi tandukan pada minit 31.

Tersentak dengan gol penyamaan Malaysia memburu gol kedua tetapi pertahanan Bangladesh kental mempertahankan gol mereka.

Akhirnya Dion Cools memberikan kegembiraan kepada ekor harimau apabila dia menjaringkan gol kedua setelah mendapat bola dari sepakan penjuru daripada Safawi Rasid.

Baru sahaja masuk separuh masa kedua , Harimau Malaya terus melancarkan serangan dan tandukan Syafiq Ahmad menggegarkan jaring gol Bangladesh melalui gerakan Azam Azih dan Faisal Halim membuatkan stadium menjadi lebih gegak gempita.

Kim Pan-gon menggantikan tiga pemain sekaligus dengan membawa masuk Darren Lok , Nazmi Faiz dan Akhyar Rasyid untuk terus bernafsu mencari gol lagi.

Darren Lok tidak perlu menunggu masa yang lama apabila mendapat hantaran leret dari Mathiew Davis dan hanya menguis bola itu di depan pintu gol masuk ke gawang Bangladesh.

GrandStandKita berkongsi lima momen indah yang dilakukan oleh pemain Harimau Malaya untuk penyokong sejati bolasepak Malaysia

1. Lilitan kapten Buat Syafiq Ahmad

Ia satu pilihan tepat oleh Kim Pan-gon dan sudah semestinya satu penghormatan buat Syafiq Ahmad memakai lilitan kapten buat kali pertama dalam sepanjang dia di dalam skuad kebangsaan.

Syafiq Ahmad bekerja keras dalam perlawanan ini dan dia sudah pun melunaskan janji yang dikotakan untuk menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia.

2. Gol debut antarabangsa Dion Johan Cools
Ia satu momen yang indah untuk pertahanan yang berpengkalan di kelab Eropah.

Mencetak gol pertama antarabangsa ia akan meningkatkan reputasi Dion Cools di kelabnya S.V Zultev Waregem.

Prestasi pertahanan ini mengkagumkan dalam ketiga-tiga perlawanan ini sudah pasti akan berada dalam panggilan skuad kebangsaan.

3. Syihan Hazmi prospek masa depan

Diberikan peluang oleh Kim Pan-gon , penjaga gol Negeri Sembilan akhirnya mendapat kaps pertama antarabangsanya.

Menggantikan penjaga gol utama , Farizal Marlias sebelum ini , Syihan kekal tenang serta dapat mengawal gawang golnya meskipun dia bolos dengan gol set pieces Bangladesh.

Dia turut berjaya menggagalkan satu percubaan berbahaya daripada serangan pemain Bangladesh.

4. Gol tandukan kepala berputar tanpa lihat Syafiq Ahmad

Kita dapat melihat beberapa taktikal serangan yang dilakukan oleh pemain Malaysia dengan mencari Syafiq Ahmad sebagai target man.

Gol Syafiq Ahmad itu bukanlah satu kebetulan , tetapi ia adalah satu set piece yang telah direncanakan oleh Kim Pan-gon ketika dalam latihan. Ia adalah senjata yang sebenar dengan melibatkan gabungan pemain yang mempunyai kemahiran tertentu.

5. Belasah Bangladesh lebih tiga gol.

Bahrain dan Turkmenistan hanya dapat membolosi dua gol ketika bertemu Bangladesh.

Tetapi Harimau Malaya menunjukkan taring tajamnya dengan menjaringkan empat gol ke atas skuad Javier Cabrera sekaligus menghancurkan sisa perjuangan mereka.

Tahniah kepada pasukan Harimau Malaya berjaya menbawa nama negara ke Piala Asia 2023 selepas 43 tahun kita kempunan.

Malam ini kita raikannya dan semestinya kita amat berpuas hati dengan perancangan KPG cukup baik dalam kempen pada kali ini.