Ini 6 cara mudah untuk kesan laman web palsu

Ini 6 cara mudah untuk kesan laman web palsu

Akses laman web palsu atau lakukan aktiviti contohnya membeli-belah di laman web itu boleh mengakibatkan maklumat peribadi atau kewangan anda dicuri. Ia juga boleh menyebabkan peranti anda dijangkiti virus atau perisian hasad. Adakalanya, sukar untuk membezakan laman web yang sah dan palsu, kerana jika dilihat sekali imbas ia kelihatan seakan sama. Contoh seperti gambar laman web Maybank2U di bawah.

Oleh itu, untuk tidak menjadi mangsa penipuan, berikut merupakan 6 cara yang boleh dijadikan panduan untuk mengesan laman web palsu.

1. Lihat URL, ada tak ‘S’

Pastikan laman web itu selamat dengan melihat pada alamat URL sama ada ia terdapat S atau pun tidak. Alamat web yang sah sepatutnya akan bermula dengan “https://” atau mempunyai simbol kunci dalam bar alamat. Tetapi, hal ni tidak menjamin bahawa laman web itu bukanlah dicipta oleh penggodam. Cuma, ia menunjukkan bahawa pemilik web menggunakan proses penyulitan selamat untuk memindahkan data dan melindunginya daripada penggodam.

2. Semak pilihan untuk hubungi syarikat

Semak pilihan yang ada untuk hubungi syarikat. Jika anda tidak melihat pilihan untuk dihubungi seperti nombor telefon, e-mel, sembang langsung atau alamat, maka berhati-hatilah dengan laman web itu.

Semak media sosialnya juga. Kebanyakan syarikat yang sah mempunyai media sosial dan ia aktif. Jika anda nampak ikon media sosial di laman web itu, maka periksa jika ikon tersebut benar-benar memaut saluran media sosial mereka. Selain itu, semak ulasan syarikat dan lihat jika anda boleh mencari pekerja dari syarikat itu di LinkedIn.

3. Semak nama & usia Domain

Scammer cenderung mencipta nama domain laman web serupa dengan sesebuah laman web yang sah. Tujuannya ialah untuk memperdaya individu. Mereka membuat sedikit perubahan yang mungkin anda tidak perasan. Contohnya seperti Yah00.com dan Amaz0b.net. Sentiasa semak bar alamat untuk memastikan anda tidak dibawa ke laman web yang tidak sah.

Selain itu, periksa juga usia domain. Laman web palsu biasanya mempunyai jangka hayat yang singkat kerana ia dipadamkan lebih awal dan ditutup oleh pemilik tapak perniagaan yang sah. Guna penjejak domain Whois Lookup untuk dapatkan maklumat seperti nama domain didaftarkan kepada siapa, di mana ia berada, dan berapa lama laman web tersebut telah aktif.

4. Lihat tatabahasa & ejaan

Laman web syarikat yang sah akan memiliki halaman yang kelihatan profesional. Kesilapan tatabahasa dan ejaan pada laman web mungkin berlaku sekali-sekala, tetapi ralat yang berlebihan boleh bermakna anda tidak berada di laman web yang sah.

5. Sahkan laman web melalui Google Safe Browser Transparency Report

Google Safe Browser Transparency Report boleh beri anda laporan sama ada sesebuah laman web itu boleh dipercayai atau tidak. Seperti contoh di bawah, selepas masukkan alamat laman web, status terkini laman web dan maklumat mengenainya akan dipaparkan.

6. Terdapat tawaran tidak masuk akal

Walaupun sesetengah laman web ada berikan diskaun harga yang banyak untuk barangan mereka bagi tujuan promosi, tetapi jika tawaran itu kelihatan tidak masuk akal, anda perlu fikir semula untuk teruskan urusan di laman web itu. Jika ia terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, maka ia mungkin tidak sah. Contohnya, mustahil untuk laman web yang sama tawarkan RM1000 setiap bulan kepada pelanggan.

Ada banyak taktik yang scammer boleh lakukan untuk memperdaya mangsa melalui laman web. Oleh itu, pastikan anda periksa laman web yang dikunjungi itu dan jangan berurusan dengannya sekiranya ada perkara yang mencurigakan.