Ini 7 tips elak telefon cepat panas

Ini 7 tips elak telefon cepat panas

Anda pernah tak lalui situasi seperti baru gunakan telefon selama 10 minit, kemudian ia menjadi panas? Pasti perkara ini membimbangkan anda kan? Telefon adakalnya menjadi panas kerana terlalu lama digunakan atau mempunyai terlalu banyak aplikasi yang bekerja. Perkara ini juga boleh berlaku apabila telefon sedang mengecas.

Kesannya ialah, telefon tersebut boleh mengalami masalah kehabisan bateri dengan cepat, anda akan dipaksa untuk matikan telefon dan telefon akan mengalami kerosakan penuh. Oleh itu, bagi menjaga telefon anda dengan baik, berikut merupakan 7 perkara yang boleh dilakukan untuk elak telefon dari menjadi cepat panas.

1. Elak kena matahari

Cara paling mudah untuk elak telefon menjadi terlalu panas adalah dengan menjauhkan ia daripada matahari. Manusia akan berasa panas dan pening jika terdedah terlalu lama di bawah matahari terik, begitu jugalah dengan telefon pintar. Selain itu, elakkan juga dari tinggalkan telefon di dalam kereta pada hari yang panas.

2. Matikan aplikasi yang tak digunakan

Aplikasi yang tak digunakan tetapi ia masih berfungsi di latar belakang boleh menyebabkan telefon anda bekerja dengan banyak. Hal ini seterusnya menyebabkan telefon menjadi panas. Maka, matikan aplikasi yang tidak digunakan. Untuk Android, berikut merupakan caranya:

  1. Buka tetapan
  2. Tekan Apps
  3. Pilih aplikasi yang ingin dimatikan dan tekan Force Stop.

3. Jangan naikkan kecerahan skrin

Menaikkan kecerahan skrin telefon biasanya dilakukan di bawah cahaya matahari terik. Ia akan menggunakan banyak tenaga bateri kerana telefon terpaksa bekerja keras untuk melakukannya. Hal ini seterusnya akan menghasilkan lebih banyak haba dan telefon menjadi panas. Sebagai penyelesaian mudah, dapatkan lapisan skrin anti-silau (anti-glare cover) untuk peranti anda, ia boleh bantu anda melihat skrin walaupun di bawah cahaya matahari.

4. Buka casing telefon

Jika telefon anda terlalu panas, anda perlu tanggalkan sarungnya kerana ia akan membolehkan haba dilepaskan dengan lebih meluas. Maka, telefon boleh menjadi sejuk dengan lebih cepat.

5. Kemaskini aplikasi

Kemaskini aplikasi boleh meningkatkan kecekapan telefon. Ini bermakna ia akan menggunakan lebih sedikit tenaga pada peranti anda. Maka, telefon tidak akan menjadi cepat panas. Untuk iOS, anda boleh periksa kemaskini aplikasi di App Store dengan cara buka App Store, tekan gambar profil anda di bahagian kanan atas, kemudian akan tertera senarai aplikasi yang perlu dikemaskini.

Di telefon Android pula, anda perlu buka Play Store, kemudian tekan gambar profil anda di atas kanan, seterusnya pilih Manage apps & device. Di situ akan dinyatakan jumlah aplikasi yang perlu anda kemaskini.

6. Jauhkan telefon dari peranti lain

Menyusun telefon, tablet dan komputer yang sedang berfungsi dalam satu beg boleh mengakibatkannya terdedah kepada suhu yang terlalu panas. Maka asingkannya untuk turunkan suhu telefon.

7. Jangan guna telefon ketika sedang caj

Menggunakan telefon semasa ia sedang dicas boleh menyebabkan kuasa yang masuk ke dalam telefon itu meningkat. Ia akhirnya menjadikan telefon panas dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada bateri telefon. Oleh itu, jangan gunakan ia semasa sedang dicas. Matikan telefon atau hidupkan mod pesawat.

Jika telefon anda masih panas selepas lakukan 7 cara di atas, maka anda perlu bawa peranti itu ke kedai baikpulih untuk ketahui masalah disebaliknya. Mungkin bateri telefon anda rosak atau komponen lain mengalami masalah.