Israel menggila, tembak mati wartawan veteran Al-Jazeera

Israel menggila, tembak mati wartawan veteran Al-Jazeera

Seorang wartawan veteran Al Jazeera, dilaporkan maut selepas ditembak tentera Israel sewaktu sedang membuat liputan di sebuah khemah pelarian di bandar Jenin berhampiran Tebing Barat, Palestin.

Shireen Abu Aqleh, 51 Shireen dilaporkan terkena peluru hidup pada pagi Rabu ketika sedang membuat liputan mengenai serangan Israel di khemah pelarian tersebut sebelum dikejarkan ke hospital.

Namun dia yang dalam keadaaan kritikal kemudianya disahkan meninggal dunia di hospital.

Berita kematian wartawan wanita yang sangat disegani itu telah disahkan Kementerian Kesihatan Palestin, lapor Al Jazeera.

Ditembak ketika pakai vest ‘Press’

Menurut laporan Al Jazeera lagi, Shireen dilaporkan memakai vest wartawan yang terpampang perkataan Press ketika ditembak.

Malah wartawan Al Jazeera lainnya turut menafikan adanya kelibat pejuang Palestin ketika kejadian berlaku.

Selain Shireen, insiden tersebut turut menyebabkan seorang lagi wartawan Al Jazeera, Ali Samoudi cedera dan kini sedang dirawat.

Terdahulu Rejim Zionis mengesahkan ada menjalankan operasi di kem pelarian tersebut. Mereka bagaimanapun mendakwa terdapat insiden berbalas tembakan ketika serbuan dijalankan.

Tentera rejim turut memaklumkan sedang menyiasat kemungkinan wartawan berkenaan terkena tembakan daripada pihak bersenjata Palestin.