Isteri ditikam berkali-kali selepas suami mimpi dia curang

Isteri ditikam berkali-kali selepas suami mimpi dia curang

Seorang lelaki didakwa menikam isterinya berkali-kali pada waktu malam selepas terjaga dari mimpi yang menunjukkan mangsa sedang menjalin hubungan sulit.

Suspek berusia 37 tahun itu didakwa menikam isteri yang dikahwininya sejak 13 tahun lalu di bahagian leher, tulang selangka dan tangan di rumah mereka di Planaltina, Daerah Persekutuan Brazil.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 8 Ogos lalu dan lima minggu selepas melarikan diri, suspek berjaya ditahan polis.

Menurut laporan, pasangan berkenaan yang mempunyai empat anak itu bertengkar di tengah malam selepas suspek bermimpi mangsa menjalinkan hubung sulit.

Suspek yang tidak didedahkan namanya itu, bertindak mengambil pisau dan mengugut isterinya ketika menyoalnya mengenai mimpi itu.

Mangsa menafikan sebarang salah laku dan cuba menyakinkan suspek bahawa itu semua hanyalah mimpi semata-mata sebelum kembali tidur.

Bagaimanapun, suspek dipercayai terlalu memikirkan tentang mimpi itu dan tiba-tiba berang lalu mengambil pisau serta menikam mangsa beberapa kali di leher, tulang selangka dan tangannya.

Mangsa berjaya melarikan diri dari serangan itu dan kemudian dibawa ke hospital. Sementara itu, suspek melarikan diri dari tempat kejadian.

Ketika disoal siasat, suspek mengakui perbuatannya dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes pembunuhan yang berlaku di Formosa, Negeri Goias.

Suspek kini menghadapi pertuduhan kerana cubaan membunuh. Siasatan kes diteruskan.