Isteri zina dengan lelaki lain, peguam jelaskan status sebenar

Isteri zina dengan lelaki lain, peguam jelaskan status sebenar

Peguam syarie dan konsultan perundangan Islam, Fahmi Ramli menjelaskan status sebenar watak Cahaya Malaika dalam drama terbaru ‘Suamiku Lelaki Pendosa’.

Dalam drama itu, Cahaya Malaika yang dilakonkan oleh Sophia Barakbah merupakan anak hasil hubungan terlarang ibunya ketika outstation. Bapanya hanya mengetahui anak itu bukan dari benihnya selepas membuat ujian DNA.

Isu mula tercetus apabila Cahaya Malaika ingin berkahwin dan mereka perlu menjelaskan status sebenar gadis itu kepada keluarga bakal suaminya.

Menurut peguam syarie, nak menafikan nasab keturunan bukanlah dengan cara pembuktian DNA. Untuk menafikan anak bukan nasab, si suami hendaklah melakukan sumpah li’an.

Ingat ye, nak menafikan nasab keturunan, bukan dengan cara pembuktian DNA. Nak menafikan itu bukan nasab kita, ia mesti dilakukan dengan Sumpah Li’an. Jika tidak, anak tersebut tetap sah dinasabkan kepada suami yang sah, walaupun bukan benih lelaki tersebut.

Beliau tertarik untuk mengulas isu ini apabila adanya pernikahan dua akad. Satu diakad nikah menggunakan Cahaya Malaika binti Abdullah secara wali hakim. Dan akad kedua kononnya olok-olok menggunakan ayah kandung, Firdaus, watak Fauzi Nawawi dengan nama Cahaya Malaika bt Firdaus.

Baca penerangan penuh di bawah:

Apa status Cahaya Malaika sebenarnya?

Anak tak sah taraf dari sudut undang-undang dan hukum syarak adalah anak yang lahir kurang daripada 6 bulan Qamariah selepas perkahwinan atau dalam masa 4 tahun Qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan disebabkan kematian lelaki atau perceraian serta tidak berkahwin semula.

Kalau ikut cerita ini, Cahaya Malaika dilahirkan dalam perkahwinan Firdaus dan isterinya. Cuma, selepas dilahirkan, ada tanda-tanda yang anak tersebut tidak serupa sifat fizikalnya dengan bapanya. Kemudian dikuatkan lagi dengan semakan DNA yang menunjukkan tidak ada darah/genetik Firdaus.

Meskipun, isterinya mengakui yang dia ada terlanjur dengan lelaki lain, namun mereka tidak bercerai kerana demi melindungi maruah keluarga serta maruah anak tersebut.

Apa dalil Cahaya adalah anak sah taraf?

Walaupun diketahui yang isteri Firdaus itu telah terlanjur dan anak itu mungkin benih lelaki lain, namun kita tidak boleh katakan itu anak orang lain. Meskipun DNA membuktikan yang mungkin tidak ada genetik si suami, anak tersebut masih boleh dinasabkan kepada lelaki yang dianggap sah sebagai suami.

Keputusan analisa DNA walaupun lebih saintifik dan moden, ia tidak boleh digunakan untuk MENAFIKAN NASAB. Tetapi, kalau nak digunakan sebagai bukti MEMBUKTIKAN NASAB ia dibenarkan.

Ini kerana hukum syarak telah menetapkan cara khusus untuk menafikan nasab iaitu melalui kaedah Li’an. Penafian nasab bermakna suatu tuduhan (qazaf) isteri berzina dengan lelaki lain. Ini berpandukan kepada Firman Allah swt di dalam Surah An-Nur ayat 6 hingga 9 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menuduh isteri-isterinya berzina dan tiada mempunyai saksi lain selain dirinya, maka kesaksian seseorang itu (dapat diterima) dengan empat kali bersumpah dengan nama Allah bahawa ia dari orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima ialah bahawa kutukan Allah akan ditimpa keatasnya jika ia dari kalangan orang-orang yang berdusta. Dan isteri pula terhindar dari hukuman (had) jika ia bersaksi (bersumpah) sebanyak 4 kali dengan nama Allah bahawa suaminya dari kalangan orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima ialah bahawa kemurkaan Allah akan ditimpakan kepadanya jika suaminya termasuk orang-orang yang benar. ”

Perkara ini juga dikembangkan oleh Imam Khatib al-Syarbini dalam Mughni Muhtaj, jilid 3, hlm 373-374

“Seseorang suami berhak qazaf isterinya yang diketahuinya berzina atau dengan jalan zan yang diperkuatkan seperti tersebarnya cerita perzinaannya dengan sifulan berserta dengan Qarinah seperti dia melihat isteri dan lelaki itu berkhalwat. Sekiranya isterinya melahirkan anak dan ia meyakini bukan anaknya, maka wajib ia menafikan. (sambungan panjang lagi)

Apa undang-undang yang dirujuk?

Ini juga bertepatan dengan Seksyen 111 Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008 yang menyatakan “Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya dihadapan Mahkamah.

Kes berkaitan dengan penafian nasab ini ada dilaporkan di dalam Jurnal Hukum Jilid 40 Bhg 2 dari halaman 238-250 (Nama kes dirahsiakan daripada penulisan ini demi menjaga maruah Perayu dan Responden). Siapa yang berminat boleh akses bahan bacaan tersebut kerana ia adalah dokumen rujukan awam.

Apa kesan Li’an?

Sumpah lian bermula dengan tuduhan zina (qazaf) oleh suami tersebut, dan jika suami tak mampu bawa 4 orang saksi lelaki, maka selepas itu barulah masuk kepada proses Sumpah Lian. Ia adalah salah satu jenis perceraian dalam hukum syarak.

Namun, kesan cerai lian lebih berat daripada kesan cerai lain. Ia akan menjadi Talak Bain Kubra. Mereka akan menjadi haram selamanya untuk berkahwin semula meskipun isteri telah berkahwin dengan lelaki lain selepas cerai.

Siapa wali perkahwinan Cahaya Malaika sepatutnya?

Memandangkan Firdaus tu dah tahu, tapi dia tidak pun bercerai apatah lagi menafikan nasab secara Cerai Li’an terhadap isterinya, maka sepatutnya dia masih wajib menjadi wali kepada perkahwinan Cahaya Malaika. Bukan secara Wali Hakim.

Pelik juga kalau tiba-tiba ada wali hakim yang approve. Bila masa pula mahkamah syariah boleh luluskan wali hakim dalam isu sebegini. Mujur buat akad kali kedua. Sepatutnya, tak boleh ubah nama binti anak tu kepada Abdullah ikut sedap saja. Nanti jadi orang lain pulak.