Jangan perasan! Rafizi tempelak Najib Razak

Jangan perasan! Rafizi tempelak Najib Razak

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menumpukan perhatian untuk ‘menyerang’ kepimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Ahli Parlimen Pekan itu nampak bimbang dengan susunan semula kepimpinan parti-parti PH kebelakangan ini, terutamanya selepas selesainya pemilihan barisan kepimpinan baru PKR terutama dirinya.

“Terbaru, semasa berucap di Konvensyen BN (Barisan Nasional) Selangor, berulang kali dia menumpukan ucapannya mengenai saya, termasuk mengungkit kononnya saya “berminat” kepadanya.

“Sementara lagak Najib sudah diketahui umum dan ada segelintir masyarakat yang berpendapat lagaknya wajar diabaikan, saya memilih untuk berdepan dengan sarkas politik mainan Najib kerana ada isu pokok yang cuba disembunyikan Najib.

“Hakikatnya, Najib telah bersalah menyeleweng dana rakyat yang kesannya akan ditanggung oleh rakyat untuk jangka masa berpuluh tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Selain tanggungan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM50 bilion, projek-projek mega membebankan rakyat dengan hutang melebihi RM100 bilion dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang.

Rafizi turut mendakwa Najib telah menggunakan sumber kewangannya untuk menggerakkan kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan dirinya seolah-olah dia tidak bersalah.

“Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib.

“Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti hakim Yang Arif Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah,” katanya.

Beliau menyeru keseluruhan pimpinan PKR dan PH di segenap lapisan terus menjawab untuk mematikan propaganda Najib yang merosakkan pemikiran rakyat.

Rafizi menegaskan minatnya terhadap Najib adalah untuk memastikan bekas Perdana Menteri itu menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara.

“Sebagai pimpinan utama parti-parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib,” katanya.

COMMENTS