Jatuh tangga akibat kasut, lelaki ini saman isterinya

Jatuh tangga akibat kasut, lelaki ini saman isterinya

 

Sebuah mahkamah rayuan menolak permohonan seorang lelaki di Ohio untuk menyaman tunangnya (ketika itu) yang mendakwa terjatuh dari tangga bilik bawah tanah akibat terlanggar kasutnya lapor MLive.com.

Tiga panel hakim dari Mahkamah Rayuan Daerah ke-8 mendapati John Walworth tidak boleh menyaman isterinya (kini), Judy Khoury akibat insiden yang berlaku pada 18 Februari 2018.

Ketika kejadian itu, Walworth yang sedang membawa kotak berisi empat gelen cuka dikatakan hilang imbangan selepas terpijak kasut yang diletakkan di atas tangga menuju ke bilik bawah tanah.

Kemalangan itu menyebabkan dia mengalami patah kaki, tangan dan lengan yang memerlukannya menjalani tiga pembedahan dan terapi fizikal selama beberapa bulan.

Dia perlu menanggung AS$80,000 bil perubatan dan didakwa kerugian lebih AS$18,000 dari segi pendapatan akibat hilang pekerjaan.

Saman itu dikemukakan pada Oktober 2019, mendakwa isterinya mewujudkan suasana berbahaya di rumahnya dan gagal melindungi ‘tetamu sosial’ mereka.

Dalam satu keterangan bersumpah, Khoury memberitahu peguam Walworth bahawa walaupun insiden jatuh itu adalah kesalahannya, kasut itu memang selalu disimpan di kawasan tersebut dan tidak berfikir untuk memberi amaran kepadanya.

Oleh kerana dia didakwa tidak pernah melihatnya jatuh, dia tidak pasti sama ada kasutnya menjadi punca kepada kejadian itu.

Syarikat insuran kediaman itu menjelaskan, kasut tersebut diletak secara terbuka dan tidak dianggap membahayakan serta boleh dielakkan.

Walworth dan Khoury berkenalan sejak puluhan tahun lalu dan mula bercinta pada 2015. Mereka bertunang pada 2017 dan berkahwin dua tahun kemudian.

Menurut laporan FMT, pasangan itu masih bersama sehingga kini.