Jemaah Haji umur 95 tahun minta turun pesawat nak bagi ayam makan

Jemaah Haji umur 95 tahun minta turun pesawat nak bagi ayam makan

 

Video seorang bakal jemaah haji warga emas dari Jawa Barat, Indonesia, secara tiba-tiba meminta untuk turun dari pesawat kerana mahu memberi ayamnya makan, tular di media sosial.

Bakal jemaah haji itu, Juhani, 95, dari daerah Malajengka, tular di media sosial, ketika beliau menghampiri seorang pramugari dan meminta untuk turun, sedangkan pesawat berkenaan sudah hampir mendarat di Madinah.

Dalam keterbatasan bahasa, pramugari itu hanya mengangguk dan tertawa serta mengisyaratkan Juhani supaya kembali ke tempat duduknya.

Memetik laporan Tribunnews , tindakan Juhani, yang lebih mesra dipanggil abah Juhani itu mengundang ketawa penumpang lain.

Petugas haji dari Majalengka, Yuyud Aspiyudin, yang merakam video berkenaan, berkata selepas mendapat pengesahan daripada anak Juhani, dia sebenarnya tidak mempunyai ayam.

Bagaimanapun, Juhani sememangnya memberi makan kepada ayam milik anaknya setiap hari.

Anaknya yang mempunyai ayam. Abah tiada ayam tetapi setiap hari, dia memberi makan ayam itu,” katanya.

Selepas diperiksa, didapati Juhani kerap bercerita mengenai ayam kepada bakal jemaah lain.

Mengenai keadaan kesihatan Juhani, Tenaga Kesehatan Haji (TKH) Kloter KJT 1, Dr Amalia Pratiwi D, berkata warga emas itu mengalami kegelisahan kerana kali pertama menaiki pesawat.

Bukan itu saja, Juhani tidak mahu duduk dan terus mundar-mandir ke depan dan belakang pesawat.

Dia juga disahkan mengalami demensia atau susut daya ingatan.

“Diagnosanya memang demensia. Pertama, kerana usianya lebih 60 tahun sehingga mengalami penurunan daya ingatan,” kata Dr Amalia.

Dr Amalia berkata, keadaan Juhani belum stabil sepenuhnya, malah dia kelihatan tidak ingat yang dia dalam perjalanan untuk melakukan ibadah haji.

Setibanya di Madinah, Dr Amalina membawa Juhani bertemu doktor pakar dan kesan ubat yang diberikan, Juhani lebih tenang.

“Alhamdulillah, beliau lebih tenang sekarang dan sedar yang beliau akan menunaikan ibadah haji,” katanya.

Kini, fizikal Juhani dalam keadaan baik, malah selepas ditunjukkan rakaman videonya yang tular, dia hanya ketawa.