Jom amalkan doa ini dalam mengejar lailatul qadar, mohon keampunan Allah

Jom amalkan doa ini dalam mengejar lailatul qadar, mohon keampunan Allah

MEMASUKI 10 malam terakhir, pasti umat Islam mahu menggandakan amalan demi mendapatkan ganjaran pahala khususnya sewaktu malam ‘1000’ bulan.

Amalan doa malam lailatul qadar merupakan salah satu ibadah sunah yang dibaca untuk meraih keberkatan bulan Ramahan, khususnya malam lailatul qadar.

Untuk meraih keutamaan malam lailatul qadar, Rasulullah menganjurkan bagi umat Muslim untuk memperbanyakkan membaca doa lailatul qadar sambil itikaf di dalam masjid.

FB_IMG_1650451380253

Doa malam lailatul qadar ini berisi permohonan ampun yang dianjurkan untuk dibaca sebanyak-banyaknya.

Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii

Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

Doa ini membawa maksud yang jelas bahawa perkara pertama yang diajarkan oleh Rasulullah kepada Saidatina Aisyah adalah agar memohon keampunan dari ALLAH.

Oleh itu, amalkan doa lailatul qadar ini sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

mengaji-Quran

Selain itu, timbul persoalan adakah umat Islam mesti beribadah pada sepanjang malam untuk mendapat pahala lailatul qadar.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tidak disyaratkan bagi meraih pahala atau ganjaran lailatul qadar dengan mesti beribadah pada sepanjang malamnya.

“Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan ibadah walaupun sebahagiannya sahaja akan mendapat ganjaran pahala sebagaimana dijanjikan sesuai dengan kadar apa yang diusahakan.

“Hal ini kerana sudah tentu ada perbezaannya, bagi mereka yang menghidupkan seluruh malam dengan ibadah berbanding yang hanya menghidupkannya sekadar setengah malam atau kurang daripada itu,” katanya.