Jual tanah lapangan terbang: Exco tak tahu, Peja buat keputusan sendiri?

Jual tanah lapangan terbang: Exco tak tahu, Peja buat keputusan sendiri?

Penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar di luar pengetahuan anggota exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, semasa menjadi exco kerajaan negeri ketika itu, penjualan tersebut tidak pernah dibangkit dan dibincangkan di dalam mesyuarat exco untuk diluluskan.

Jelasnya, tindakan itu langsung tidak diketahui sehingga perkara itu dibangkitkan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming pada Selasa lalu dan disahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Walaupun di sana ada collective responsibility, tapi ia merupakan keputusan individu yang seharusnya dipertanggungjawabkan tetapi yang terpalit nama kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Amanah Perak di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Saarani pada Khamis bahawa tanah lapangan terbang tersebut dijual ketika zaman pemerintahan PH.

Sementara itu Asmuni berkata, Saarani sepatutnya menjawab persoalan itu di dalam DUN supaya perkara tersebut boleh dibahas dan dibincangkan kerana penjualan itu tidak melalui serta mendapat kelulusan mesyuarat exco.

“Mungkin satu siasatan perlu dijalankan terhadap sumber kuasa bagaimana penjualan ini boleh dilangsungkan, berapa harganya dan siapa pembelinya. Ada atau tidak kemungkinan tanah ini boleh diambil balik walaupun telah dijual.

“Saya agak dukacita jawapan kepada perkara ini hanya diberi di luar dewan dan tidak memberi peluang untuk membuat satu keputusan yang tuntas,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun masih tidak terlewat untuk kerajaan negeri menyiasat kembali isu tersebut dan mengambil langkah sewajarnya.