Judi meningkat: Pas kata judi untuk bukan Islam je…

Judi meningkat: Pas kata judi untuk bukan Islam je…

AHLI PAS digesa supaya tidak melatah dengan kecaman terutama netizen di media sosial berhubung kelulusan cabutan khas nombor ramalan sebanyak 22 kali yang diberikan sepanjang tahun ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria ketika diminta memberi pandangan berhubung isu terbabit memaklumkan beliau yakin keputusan mengenai kelulusan cabutan khas itu bukan dibuat oleh pihak PAS.

“Saya percaya kelulusan ini bukan dibuat oleh pihak PAS kerana PAS tidak berkuasa penuh dalam kerajaan,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, bagaimanapun menegaskan isu itu adalah di peringkat Persekutuan dan tidak wajar untuknya memberi komen lanjut.

“Tetapi kalau ditanya kepada saya, memang judi bukan untuk orang Islam.

“Sekarang ini kita ahli-ahli PAS dan orang Islam perlu menjaga diri kita serta masyarakat Islam khususnya supaya tidak melanggar larangan Allah SWT.

“Nombor ramalan ini hanya untuk orang bukan Islam, maka kita orang Islam ada halal dan haram…jadi kita orang Islam jaga orang Islam,” nasihatnya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam satu jawapan bertulis di Parlimen, semalam mengesahkan kerajaan meluluskan kesemua permohonan dagensi nombor ramalan (NFL) untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun 2021.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyoal berapakah jumlah cabutan khas nombor ramalan sepanjang tahun ini.