Kajian mendapati wanita paling puas hubungan intim pada usia 53 tahun

Kajian mendapati wanita paling puas hubungan intim pada usia 53 tahun

 

Satu kajian baharu mendapati bahawa lebih separuh wanita berusia 50 tahun dan ke atas mengaku bahawa hubungan kelamin mereka bertambah baik seiring dengan peningkatan usia, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Kajian meluas di Britain itu menyaksikan wanita berusia memberikan petua kehidupan kepada generasi muda. Dalam kajian tersebut, mereka memaklumkan bahawa umur 53 tahun merupakan usia terbaik untuk menikmati hubungan intim, namun memberi amaran bahawa ‘kesempurnaan’ adalah sesuatu yang tidak wujud.

Sebaliknya, mereka menasihatkan wanita muda untuk sentiasa menghargai perkara-perkara kecil dalam hidup, menyayangi diri sendiri serta mempercayai naluri mereka.

Kajian yang dijalankan terhadap  1,500 wanita itu mendapati 27 peratus daripada  responden menjelaskan bahawa wanita hilang nafsu syahwat apabila menopause sebagai ‘mitos’ semata-mata’.

Perunding ginekologi Hospital Wanita Liverpool, Dr. Paula Briggs berkata, beliau  teruja dengan penemuan itu.

“Menopause bahkan boleh menjadi sesuatu positif kepada wanita. Namun, ia merupakan sesuatu yang mereka perlu hadapi,” katanya.

Petua lain termasuk memastikan kebebasan kewangan,  tidak kekal dalam kerjaya yang tidak disukai dan mengembara sebanyak mungkin.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh syarikat Organon, satu pertiga wanita berusia lebih 50 tahun membayangkan wanita berkahwin atas dasar cinta dan bukan materialistik.