Kalau BN tak jatuh dulu, Najib takkan didakwa

Kalau BN tak jatuh dulu, Najib takkan didakwa

 

TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendakwa Datuk Seri Najib mungkin tidak diheret ke muka pengadilan sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak jatuh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus membuktikan bahawa kuasa rakyat menolak golongan perasuah ini, dapat menjayakan usaha membawa mereka yang terlibat ke mahkamah.

“Sekiranya BN tidak jatuh pada PRU-14, tidak mungkin kes ini dibicarakan.

“Hari ini menunjukkan kuasa rakyat menolak perasuah membolehkan mereka-mereka seperti ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya ringkas di Facebook, seperti dipetik Malaysiapost.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Namun, human terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Penangguhan itu dibuat oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.