Kantoi! Lelaki ini ditahan suka rakam orang kencing di tandas

Kantoi! Lelaki ini ditahan suka rakam orang kencing di tandas

 

SEORANG lelaki ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dengan mengintai dan merakam menggunakan telefon bimbit di dalam tandas lelaki, di Stesen Minyak Shell Batu 3, Shah Alam pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata pihaknya telah menerima aduan daripada seorang lelaki berhubung tangkapan awam di stesen minyak tersebut, jam 2.25 pagi.

Katanya, suspek telah ditahan oleh orang awam yang hendak menggunakan tandas apabila didapati sedang merakam pengguna di tandas bersebelahan menggunakan telefon bimbitnya.

“Justeru, bertindak dari maklumat tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan semula ke atas seorang lelaki  lingkungan usia 37 tahun, pada jam 2.45 pagi, hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan telefon bimbit suspek, didapati banyak rakaman video orang awam yang sedang membuang air kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Khalid, berkata, laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang Malaysia serta tidak berkelakuan yang melampaui batas.

“Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah amat dialu-alukan di talian 03-56210343 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut.

“Segala identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya, lapor Malaysiapost.