Kantoi menghina agama lain, Ustaz ini bagi alasan ceramahnya diambil di luar konteks

Kantoi menghina agama lain, Ustaz ini bagi alasan ceramahnya diambil di luar konteks

 

Pendakwah Syakir Nasoha tampil menjelaskan ceramahnya telah diambil di luar konteks selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa mencetuskan rasa tidak tenteram antara agama.

Dalam video Youtube yang dimuat naik hari ini, katanya dia telah menyampaikan ceramah sebenar yang berlangsung sekitar satu setengah jam di Masjid Abu Bakar di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2017.

Pun begitu, klip video yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini hanya menunjukkan segmen pendek daripada ceramah itu, dan maksud beberapa perkataan mungkin tidak tersebar dengan jelas terutama kepada penonton bukan Islam.

“Malah bukan setakat video itu pendek, dalam video yang pendek itu juga dicut ada beberapa perkataan yang tak jelas.

“Saya tak salahkan orang yang menyunting video tersebut. Kemungkinan dia buat tu atas tujuan yang diniatkan atas kebaikan.

“Tetapi mungkin atas video yang disunting itu, menjadi satu kesalahfahaman kepada beberapa pihak khususnya mungkin daripada pihak Buddha, Hindu, dan juga Dayak,” katanya dalam rakaman itu, lapor Malaysiakini.

Syakir berkata dia sedang menghuraikan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW di mana Rasulullah bersabda memperingatkan menjelang hari kiamat, orang kafir akan ‘mengerumuni’ orang Islam.

Perkataan ‘mengerumuni’ itu, jelas Syakir bermaksud tindakan tidak baik kepada umat Islam.

Dia menggambarkannya dengan memberikan contoh kejadian di luar negara di mana penganut Buddha, Hindu dan Dayak menyerang orang Islam.

Namun, jelasnya perkataan ‘kafir’ dalam konteks ini merujuk secara khusus kepada ‘kafir harbi’ (orang kafir yang menentang Islam), bukan mereka yang kafir zimmi (orang kafir yang tidak menentang Islam).

Sebaliknya, dia berkata Islam menyuruh penganutnya untuk bersikap baik dengan kafir zimmi dan tidak melarang umat Islam melibatkan mereka dalam menguruskan urusan duniawi, selagi tidak melanggar hukum-hakam Islam.

Dia berkata ceramahnya itu bukan saja ditujukan kepada orang bukan Islam yang anti-Islam, tetapi juga kepada orang yang mengisytiharkan dirinya Muslim tetapi melanggar ajarannya seperti terlibat dalam kegiatan pengganas.

Jelas Syakir lagi, dia berceramah kepada khalayak orang Islam tanpa menyedari dia sedang dirakam.

“Tetapi apabila video diambil, kemudian “di-public-kan” kepada orang yang bukan Islam, mungkin perkara ini akan menimbulkan salah faham kepada orang Islam.

“Kerana untuk memahami kaedah hadis dan sebagainya, sepertimana saya sebut tadi, bukan boleh difaham dengan serta-merta dengan tengok satu video. Kita yang orang Islam sendiri pun untuk belajar tentang Islam ambil masa yang lama.

“Kita ambil masa… kadang-kadang mengaji di sekolah, di tahfiz dan sebagainya kita akan belajar sampai beberapa tahun. Untuk kita memahami.

“Sebab itu bila hanya tengok satu video saja, dia boleh menimbulkan kesalahfahaman. Lebih-lebih lagi kepada yang bukan Islam,” katanya.

Sebelum ini, bekas ahli parlimen Umno Tawfik Ismail membuat laporan polis terhadap seorang penceramah atas dakwaan menghina agama bukan Islam, dalam satu ceramah yang tular sebelum ini.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMABKHST) pula menyifatkan ceramah itu berbaur perkauman dan kebencian serta menggesa kerajaan mengambil tindakan.

Menurut laporan The Sun semalam, sebuah NGO mendakwa pihaknya telah membuat 3,000 laporan polis di seluruh negara terhadap Shakir, manakala Malay Mail memetik ketua polis daerah Brickfields Anuar Omar berkata pada Ahad bahawa lima atau enam laporan diterima di kawasannya.