Kecewa kerajaan melayu Islam tak ambil tindakan promosi judi
Belum reda isu video klip lagu usahawan kosmetik yang mengundang kemarahan ramai pihak, kini hati umat Islam terguris pula dengan tindakan seorang YouTuber muslim yang mempromosikan syarikat judi.
YouTuber itu mencuri tumpuan netizen apabila dia mengatakan bahawa video yang dimuat naik pada 25 April lalu ditaja oleh syarikat M88 yang didakwa sebuah syarikat perjudian.
Kesal dengan perkara itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, tindakan sedemikian mendatangkan kemarahan umat Islam, lebih-lebih lagi dilakukan dengan bangga ketika bulan Ramadan.
“Rata-rata umat Islam pasti rasa terhina, tersinggung dan marah apatah lagi yang melakukannya ialah selebriti beragama Islam.
“Saya teringat perkara yang hampir serupa berlaku pada tahun yang lalu, di mana beberapa syarikat judi mengeluarkan video raya pada hujung-hujung bulan Ramadan. Sama seperti sekarang.
“Apakah segala persamaan ini hanyalah kebetulan semata-mata? Apakah syarikat-syarikat judi ini memang tidak takut langsung bermain dengan api sebegini?
“Apakah memang pihak berkuasa tidak boleh berbuat apa-apa dengan tegas terhadap mereka?,” soalnya.
Dari satu aspek yang lain pula, Haji Aminuddin berkata, semakin ramai selebriti beragama Islam sendiri sudah hilang pedoman demi populariti dan wang ringgit.
“Sebagai contoh juga, baru ini sudah ada video lagu raya berunsurkan gejala songsang. Tak tahulah tahun depan akan ada lagi juga, sebab saya difahamkan kerajaan kata mereka tidak boleh buat apa,” katanya.
Amat dikesali apabila maruah umat Islam dipijak ‘menggunakan’ muslim sendiri dengan sogokan duniawi.
“Sangatlah malang apa yang berlaku pada umat Islam kita kini di Malaysia.
“Manakala kita lihat pemimpin kita hanyut dengan keenakan pangkat dan jawatan. Lagi selesa apabila mereka rasa boleh menang pilihanraya dengan mudah,
“Lebih parah lagi, ramai asatizah kita sudah lebih gemar jadi jaguh apabila bergaduh sesama sendiri tetapi hanya longlai sahaja apabila berhadapan isu-isu ‘real’ yang menimpa umat sebegini,” katanya.