Kejam! Anak Autisme didera, wanita warga asing ditahan

Kejam! Anak Autisme didera, wanita warga asing ditahan

POLIS menahan seorang wanita susulan satu video yang tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak autisme dipukul di pusat jagaan di Bandar Baru Ampang.

Difahamkan, wanita warga asing yang berusia 51 tahun yang juga pengurus di pusat jagaan berkenaan ditahan kira-kira pukul 1.50 petang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Kejadian pukul itu berlaku pada kelmarin selepas bapa mangsa yang juga seorang pengurus kargo berusia 36 tahun menghantar anaknya ke pusat jagaan tersebut kira-kira pukul 8.45 pagi.

Pada pukul 12.45 tengah hari waktu yang sama, bapa mangsa telah terlihat kesan lebam di  bahagian bahu sebelah kiri dan di bahagian mata kanan dan kiri anaknya itu.

Seorang daripada cikgu di pusat berkenaan memaklumkan kepada pengadu bahawa ada kesan kemerahan pada tepi dahi kiri kerana mendakwa mangsa telah menghantukkan kepala pada meja atas alasan tidak mahu makan.

Curiga dengan dakwaan tersebut, bapa mangsa telah melakukan semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek telah bertindak agak kasar apabila mangsa tidak mahu makan.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya telah menangkap suspek pada semalam dan siasatan mendapati pas lawatan suspek disyaki telah tamat tempoh kira-kira setahun tiga bulan.

“Suspek merupakan majikan dan mempunyai tiga pekerja tempatan. Kesemua kanak-kanak di pusat jagaan tersebut adalah sebanyak tujuh orang termasuk mangsa dan kesemuanya berstatus OKU Autisme.

“Semasa kejadian enam orang kanak-kanak bersama 3 pengasuh berada ditempat kejadian,” katanya, lapor Suara Merdeka.

Menurut Mohamad Farouk, pusat jagaan itu telah beroperasi selama tujuh tahun dan hasil semakan awal mendapati lesen premis itu telah tamat tempoh selama dua bulan.

Jelasnya, ini juga merupakan laporan polis dan kejadian yang pertama berlaku di pusat itu.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1952 manakala suspek kini ditahan reman sehingga 5 Oktober depan.