Kejam! Bekas tentera rogol dan liwat anak, dipenjara 24 tahun

Kejam! Bekas tentera rogol dan liwat anak, dipenjara 24 tahun

Mahkamah Rayuan menambah tempoh hukuman penjara terhadap bekas sarjan tentera daripada 18 kepada 24 tahun kerana merogol dan meliwat anak perempuannya yang masih bawah umur lima tahun lalu selepas dia gagal dalam rayuannya hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman 15 kali sebatan.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan rayuan pendakwaan terhadap tempoh hukuman penjara itu daripada 18 dan enam tahun – bagi dua kesalahan untuk dilaksanakan secara berasingan.

Karim yang disertai Wazeer Alam Mydin Meera dan Lim Eng Cheong berkata, mereka mendapati tiada merit dalam rayuan itu selain terdapat bukti yang kukuh bahawa bekas tentera berkenaan melakukan jenayah terbabit.

“Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan kesilapan secara undang-undang dan fakta yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan,” katanya, lapor FMT.

Bagaimanapun beliau berkata, panel itu membenarkan rayuan pendakwaan supaya hukuman rogol dan liwat itu dilaksanakan berasingan kerana kesalahan itu dilakukan secara berasingan.

Lelaki berusia 45 tahun itu mula menjalani hukumannya hari ini selepas diikat jamin sebanyak RM12,000 sementara menunggu keputusan rayuan terbabit.

Dia merogol dan meliwat mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Johor Bahru pada 15 Mac 2016.

Mahkamah Sesyen kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan atas tuduhan merogol manakala bagi tuduhan liwat pula dia dikenakan hukuman penjara enam tahun dan lima sebatan.

Mahkamah perbicaraan mengarahkan semua hukuman itu berjalan secara serentak, iaitu membabitkan hukuman penjara selama 18 tahun.

Mahkamah Tinggi mengesahkan sabitan dan hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee mengendalikan pendakwaan manakala Noordin Hussin mewakili tertuduh.