Kejam! Ibu kandung dera anak 5 tahun sampai mati

Kejam! Ibu kandung dera anak 5 tahun sampai mati

 

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut disyaki didera ibu kandung sendiri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian 12.20 tengah hari itu pihaknya menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengenai kematian seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama suspek iaitu ibu kandung dan kekasih ibunya yang juga bapa angkat mangsa, serta seorang adik dan kakak.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

“Ibu kandung mangsa berusia 35 tahun ditahan di HSA, manakala kekasihnya yang berusia 32 tahun ditahan di kediaman di Nusa Bistari.

“Semasa ditahan kedua suspek negatif ujian saringan dadah.

“Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor telah menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan poly pipe di atas sofa dan kesan darah di rumah suspek.

“Pemeriksaan awal oleh pihak HSA mendapati mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, memetik Astro Awani.

Menurut Dzulkhairi, bedah siasat akan dijalankan hari ini selepas keputusan swab test COVID-19 mangsa diperoleh.

Kedua-dua suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau.

“Pemeriksaan rekod lampau terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.