Kementerian Pendidikan umum benarkan ahli politik masuk sekolah

Kementerian Pendidikan umum benarkan ahli politik masuk sekolah

Ahli politik berhasrat memasuki kawasan sekolah bagi tujuan pembangunan dan pendidikan dibenarkan berbuat demikian, kata Timbalan Menteri Pendidikan Mohamad Alamin.

Katanya, ahli politik berkenaan boleh berbuat demikian selepas memaklumkan kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu untuk rekod Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Kementerian saya membenarkan mana-mana ahli politik mengadakan program-program berkaitan pendidikan dan pembangunan di sekolah.

“Sebelum ini ketika kita berdepan pandemik Covid-19, kementerian melarang sama sekali orang luar memasuki kawasan sekolah. Kini keadaan semakin pulih dan kita sudah membenarkan program seperti mesyuarat persatuan ibu bapa guru (PIBG) untuk kembali diadakan di sekolah,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Justeru, Mohamad mengalu-alukan mana-mana ahli politik yang bercadang melaksanakan projek kecil di sekolah untuk berbuat demikian.

“Namun, ada prosedur tertentu yang perlu dipenuhi ahli politik dan ia tidak rumit. Hanya berbincang dengan pengetua atau guru besar dan kemudian mereka akan berurusan dengan PPD.

“Jika ia untuk kepentingan sekolah, kami tiada masalah,” katanya.