Kenaikan gaji minimum petanda PRU15 semakin hampir?

Kenaikan gaji minimum petanda PRU15 semakin hampir?

Langkah kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini dilihat tergesa-gesa tanpa persediaan penuh pihak majikan dan industri.

Bahkan, keputusan itu seolah-olah memberi gambaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin hampir.

Tidak menolak kemungkinan itu, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, desakan akar umbi UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), baru-baru ini meminta PRU15 diadakan segera adalah bukti yang amat jelas.

“Kemudian, muncul pula tawaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 yang diumumkan Perdana Menteri.

“Walaupun pada awalnya tindakan ini tidak dipersetujui oleh Menteri Kewangan, namun akhirnya ia terlaksana juga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lukman yakin tindakan populis kerajaan hari ini pasti ada manfaat dan juga bahaya – bergantung kepada kestabilan ekonomi rakyat masing-masing.

Namun, yang jelas katanya, ia menggambarkan sesuatu yang besar akan berlaku.

“Hari ini (semalam), satu lagi pengumuman penting dibuat iaitu penguatkuasaan gaji minima berjumlah RM1,500 bermula 1 Mei. Pada pandangan saya keputusan ini dibuat sangat tergesa-gesa tanpa persediaan penuh pihak majikan dan industri.

“Mengikut rekod, pada awal tahun ini kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji minimum ini akan berlaku pada hujung 2022. Apabila ianya diawalkan, sudah tentulah ada motif penting dari pihak kerajaan.

“Kita tunggu dan lihat, adakah selepas puasa dan raya akan berlaku pula pilihan raya?” katanya.