Kenapa kenapa hasil siasatan kes Adib tidak didedah kepada umum? Tegas ISMA

Kenapa kenapa hasil siasatan kes Adib tidak didedah kepada umum? Tegas ISMA

Kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa kes Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara dan dibuka semula jika terdapat bukti baharu sangat mengejutkan semua pihak.

Keputusan itu bukan sahaja menidakkan keadilan kepada keluarga Allahyarham, malah menimbulkan banyak persoalan kerana pengumuman dibuat oleh menteri yang langsung tidak melibatkan kementeriannya.

Lebih pelik, hasil siasatan tidak didedahkan kepada umum dan seolah-olah seperti tiada bukti kukuh terhadap pesalah, walhal banyak video dan gambar telah dirakam oleh pelbagai pihak ketika kejadian.

Justeru Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, sekiranya kes ini tidak diselesaikan dengan sewajarnya, kewibawaan dan integriti pihak keselamatan akan terus dipersoalkan rakyat.

Atas dasar itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menuntut kerajaan meneruskan siasatan sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah, berikutan sebelum ini Menteri Dalam Negeri pernah membuat kenyataan bahawa siasatan sudah berada di peringkat akhir.

“Dan pihak Peguam Negara juga perlu meneruskan pendakwaan jika pesalah telah dikenal pasti,” katanya pada sidang media PEMBELA mengenai penutupan kes kematian Muhammad Adib, di sini, hari ini.

Haji Aminuddin turut mengingatkan wakil rakyat yang sebelum ini bersungguh-sungguh memperjuangkan kes Muhammad Adib Mohd Kassim tidak lupa untuk menuntut keadilan kematian anggota bomba itu selepas duduk di kerusi kerajaan.

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu menggesa pihak berkenaan yang sebelum ini bersama-sama menyertai demonstrasi, menghantar memorandom serta membuat laporan polis mengenai kematian Muhammad Adib untuk tidak sesekali melupakan kes ini.

“Kita harap mereka tidak lupa perjuangan. Jangan sudah dapat kedudukan yang baik, gaji yang banyak semua perjuangan telah dibakulsampahkan.

“Kita harap mereka dapat perjuangkan andai kata mereka tidak mahu dinyahkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya.

Sabtu lalu, Zuraida berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Katanya, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Walhal, sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan dilaporkan tamat pada 23 September.

Dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya, lapor Ismaweb.net.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018.