Kenapa KJ tak jawab siapa di sebalik syarikat MySejahtera? Takut ke?

Kenapa KJ tak jawab siapa di sebalik syarikat MySejahtera? Takut ke?

Kita semua telah mendengar penjelasan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang Dewan Negara petang semalam walaupun ada beberapa persoalan yang masih kabur dan tidak disentuh.

Jika MySejahtera adalah hak milik penuh kerajaan, mengapa rundingan begitu rumit dan tak selesai sehingga hari ini yang sudah makan masa setahun lamanya?

Menurut Khairy ia hanyalah proses untuk memindahkan pengurusan MySejahtera daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi apa yang dipersoalkan rakyat mengapa ada bayaran tertentu dikenakan oleh KPIsoft (kini dikenali sebagai Entomo) sedangkan penukaran pengurusan boleh dilakukan secara pentadbiran dengan melibatkan agensi berkaitan dalam kerajaan yang tidak memerlukan campur tangan pihak ketiga.

Antara persoalan besar yang tidak dijelaskan Khairy adalah siapa di sebalik syarikat-syarikat yang berkaitan? Ada dakwaan menyatakan bahawa individu yang terlibat adalah mereka yang berkepentingan dan mempunyai kedudukan dalam parti politik tertentu dan inilah antara yang menyumbang kepada kegusaran awam mengapa kaedah rundingan terus dibuat.

Daripada awal pemilihan syarikat pengendali MySejahtera ini dibuat, apakah kerajaan tidak memikirkan bahawa ia bukan tanggungjawab sosial korporat semata-mata tetapi adalah satu model perniagaan yang akhirnya wang rakyat digunakan untuk mendapatkan pengawalan penuh kepada perkhidmatan tersebut.

Meskipun Khairy menyebut tidak ada apa yang ingin disorokkan, tetapi rakyat tahu bahawa beliau tidak menceritakan sepenuhnya sisi gelap isu ini. Rakyat tidak mempertikaikan fungsi dan kegunaan aplikasi tersebut tetapi rakyat bimbang kerajaan sekali lagi membuat kesilapan dalam proses penyelesaian isu ini sehingga data rakyat dan dana awam terpaksa menjadi galang gantinya.

Khairy juga enggan mendedahkan julat atau anggaran harga yang kerajaan perlu bayar dalam memeterai kontrak ini yang menyebabkan pembayar cukai akan terus tertanya-tanya berapa lagi wang rakyat akan digunakan dalam keadaan ekonomi negara yang masih meruncing.

Kemajuan teknologi dan penembusan data bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam dunia hari ini. Meskipun Khairy menyebut wujud sistem yang boleh mengesan sekiranya terdapat aktiviti penyelewengan data, namun apa jaminan dan tindakan yang boleh diambil sekiranya data-data tersebut benar-benar diseleweng.

Khairy harus ingat, wang rakyat berbilion ringgit yang perlu melalui pelbagai tapisan pun boleh bocor dan dirompak keluar dari negara ini, masuk ke akaun peribadi dan pelakunya masih bebas ke sana ke sini, apa lagi data yang boleh sahaja diseludup dengan kemajuan teknologi pada hari ini.

RAZAK RIDZUAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional