Keputusan teruk di Melaka: Bersatu undur diri bertanding di Sarawak

Keputusan teruk di Melaka: Bersatu undur diri bertanding di Sarawak

 

PARTI Bersatu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung bermula 6 hingga 18 Disember ini.

Perkara itu disahkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjelaskan Bersatu sebaliknya akan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya berkenaan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, yang juga Presiden GPS.

“Kita sudah ada perbincangan dengan Abang Johari beberapa hari sebelum pengumuman PRN Sarawak dibuat.

“Kita bincang di peringkat parti, yang kita tidak akan bertanding di PRN Sarawak. Kita dah buat keputusan. Yang penting kita nak tentukan parti di Sarawak menang dengan cemerlang,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh, di Dewan Serbaguna Lenga, Pagoh, hari ini.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga komponen PN, semalam mengumumkan akan bertanding di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN itu.

PRN Sarawak ditetapkan pada 18 Disember dengan penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember manakala pengundian awal 14 Disember.