Kerajaan bazirkan duit negara RM136 ribu sebulan untuk bayar penasihatnya
Jika Datuk Seri Najib Razak membayar RM244,791.65 sebulan kepada 10 penasihatnya sebelum disingkir pada 2018, Perdana Menteri (PM) Kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula membayar lima penasihatnya sebanyak RM136,136 sebulan.
Dengan jumlah belanja sebanyak RM136,136 yang dibayar oleh kerajaan Ismail Sabri tersebut menjadikannya kedua tertinggi sejak era kerajaan Najib berakhir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, menurut laporan Malaysiakini.
Jumlah perbelanjaan keseluruhan itu diberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Abd Latiff Ahmad di Dewan Rakyat sebelum ini.
Penasihat khas semasa Ismail Sabri kini ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang (Duta Khas ke Timur Tengah), Datuk Seri Tiong King Sing (Duta Khas ke China), Datuk Seri Richard Riot (Duta Khas ke Jepun, Korea dan Taiwan), Tan Sri S Vigneswaran (Duta Khas ke India dan Asia Selatan) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia).
Semua penasihat PM dibayar gaji masing-masing sebanyak RM27,227.20 sebulan.
Berbanding semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, jumlah keseluruhan yang dibayar kepada empat orang penasihat adalah sebanyak RM99,886.27 sebulan.
Menjelang penghujung tempoh kerajaan PN, Muhyiddin melantik Timbalan Presiden partinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas dengan gaji RM27,227.20.
Bagaimanapun, Ahmad Faizal hanya berkhidmat dalam jawatan itu selama 22 hari berikutan kejatuhan kerajaan pada Ogos.
Untuk rekod, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM kali kedua, sebanyak RM46, 853 sebulan dibelanjakan bagi membayar empat orang penasihatnya.
Sementara itu, semasa era kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berkhidmat sejak 2003 hingga 2009 hanya mempunyai seorang penasihat khas, dengan gaji bulanan RM17,820.
Ketika Dr Mahathir menjadi PM Keempat, beliau hanya mempunyai seorang penasihat khas pada satu-satu masa, juga dengan gaji RM17,820.
Seorang telah diupah antara 1982 hingga 1989 manakala seorang lagi diupah antara 2001 dan 2003.