Kerajaan beri jaminan tidak akan PKP walau kes naik
KERAJAAN tidak menolak kemungkinan untuk mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara susulan penularan wabak Covid-19 varian Omicron yang semakin membimbangkan.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Mesyuarat ke-11 Menteri Kuartet Covid-19 hari ini memberi tumpuan terhadap perkembangan terkini situasi penularan Covid-19 dalam negara khususnya varian Omicron.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, berdasarkan pembentangan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, setakat ini sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia.
Menurutnya, sebahagian besar kes jangkitan varian ini di negara kita masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.
“Ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan pemantauan rapi dan sentiasa mengambil kira laporan semasa dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) serta negara-negara yang terkesan dengan penularan varian ini.
“Kerajaan tidak menolak untuk mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.
“Namun penting juga untuk saya tegaskan, pendekatan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan sedang melihat ruang dan peluang untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan beberapa lagi negara termasuk Indonesia dan Thailand.
“Kementerian Pengangkutan dan Wisma Putra telah membentangkan perbincangan terkini dengan rakan sejawat masing-masing di Singapura serta cadangan Kementerian masing-masing bagi menambahbaik inisiatif ini pada masa hadapan.
“Antaranya, mereka sedang melihat ruang dan peluang untuk melaksanakan VTL dengan beberapa lagi negara termasuk Indonesia dan Thailand.
“Walaubagaimanapun ia bergantung kepada situasi Covid-19 bukan sahaja di negara-negara berkenaan tetapi juga di negara kita,” katanya.