Kerajaan dalam usaha tangani kenaikan harga ayam
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada peniaga ayam untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak di lokasi berlakunya masalah kenaikan harga.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu bertujuan membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah.
Beliau berkata, pendekatan itu juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.
“Kementerian memandang serius situasi yang sedang berlaku khususnya membabitkan kenaikan harga barangan keperluan asas pengguna kerana ia memberi impak terus kepada kos sara hidup rakyat terutamanya dalam fasa pandemik Covid-19.
“Di atas keprihatinan itu, saya mengarahkan pendekatan baharu diambil bagi menangani masalah kenaikan harga barang terutama harga ayam yang sering kali berulang iaitu pengeluaran surat pemberitahuan.
“Diharap peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan supaya harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Alexander berkata, tindakan tegas akan diambil antaranya kompaun maksimum atau pendakwaan di mahkamah kepada peniaga yang ingkar dan enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu itu.
Beliau berkata, KPDNHEP juga akan mengadakan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan faktor huluan seperti harga dedak import, harga baka ayam dan harga anak ayam di peringkat hiliran dapat diminimumkan dan terurus.
“Untuk makluman juga, industri dan bekalan ayam di kawal selia oleh MAFI dan KPDNHEP bersedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam di pasaran.
“KPDNHEP tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang sudah dilaksanakan ketika musim perayaan besar Malaysia di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
“Bagaimanapun, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memanipulasikan harga di semua peringkat rantaian,” katanya.
Katanya, KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan melalui lebih 1,000 pegawai pemantau setiap hari bagi mengetahui trend pergerakan harga.
Alexander berkata, tindakan segera akan diambil ke atas premis yang menjual pada harga tidak munasabah berdasarkan pemantauan ini tanpa menunggu aduan daripada pengguna.
“Pemantauan pada 10 September lalu mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah pada paras RM8.83 sekilogram.
“Di Semenanjung, harga purata ayam bersih standard ialah RM8.78 sekilogram dan julat harga jualan adalah antara RM5.99 sekilogram hingga RM11 sekilogram.
“Berdasarkan pemerhatian kementerian, premis yang menjual pada harga tinggi melebihi RM9 sekilogram terdiri daripada pasar basah atau awam.
“Harga paling tinggi adalah RM11 sekilogram dijual di Pasar Besar Raub, Pahang. Pada masa sama, premis pasar raya dan hypermarket masih menawarkan ayam bersih standard pada harga yang berpatutan.
“Di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33 sekilogram paling tinggi adalah RM11.80 sekilogram dijual di Gentingmas Mall, Sandakan manakala harga paling rendah adalah RM10.90 sekilogram di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan.
“Sementara di Sarawak pula, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56 sekilogram, paling tinggi adalah RM9.80 sekilogram dijual di Central Market, Sarikei manakala terendah adalah RM7.50 sekilogram dijual di Everwin Supermarket Mukah,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander berkata, hasil analisis awal mendapati berlaku peningkatan terhadap kos bagi bahan utama makanan (dedak) ayam yang meningkat hampir beberapa kali sepanjang tahun ini iaitu jagung, soya dan minyak sawit mentah.
Beliau berkata, jagung dan soya adalah bahan yang diimport.
“Pengguna dinasihatkan untuk bijak dalam memilih tempat dan masa untuk membeli ayam pada harga patut.
“Mereka juga disarankan menggunakan Aplikasi ‘Price Catcher’ untuk mendapatkan dan membuat perbandingan harga barang keperluan, termasuk ayam yang dijual di premis sekitar serta berhampiran dalam radius 10 kilometer (km) bagi tujuan pembelian yang terancang,” katanya.
Alexander berkata, langkah lain kementerian adalah dengan melaksanakan pelbagai operasi
penguatkuasaan seperti Op Pasar (ayam), Op Catut 8.0 (pengeluar, penternak, pengilang dan pemborong ayam), Op Pasar 2021 (telur ayam) dan Op Rantai (makanan atau dedak ayam) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).