Kerajaan digesa permudahkan SOP perkahwinan, jangan persulitkan

Kerajaan digesa permudahkan SOP perkahwinan, jangan persulitkan

 

1. Saya ingin menzahirkan kekecewaan terhadap jawapan yang dikemukakan oleh dua (2) Ahli Parlimen daripada PAS iaitu YB Idris Ahmad (Menteri Agama) dan YB Zailah (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) di Parlimen berkaitan 2 kementerian penting untuk Umat Islam.

2. Kedua-dua Menteri dan Timbalan Menteri sepatutnya memanfaatkan sidang parlimen untuk membentangkan perkara dasar. Sebaliknya, jawapan parlimen yang diberikan dilihat bersifat dendam politik dan hanya berbentuk laporan lawatan yang langsung tidak menggambarkan kompetensi sebagai pembuat dasar sebagai seorang Menteri dan Timbalan Menteri.

3. Antara perkara dasar yang boleh dibentangkan adalah seperti jalan keluar kepada polisi yang tidak mesra pasangan muda yang mahu mendirikan rumahtangga ketika pandemik Covid-19 ini.

4. SOP perkahwinan yang sangat merumitkan menyebabkan ramai anak muda terpaksa menangguhkan pernikahan malah bukan jumlah yang sedikit yang berhasrat membatalkan perkahwinan mereka. Saya menggesa Kerajaan melalui 2 kementerian ini supaya mengemaskini dan mengkaji semula SOP bagi memudahcara pasangan muda yang mahu melangsungkan perkahwinan mereka ketika Malaysia bersedia menuju endemik Covid-19.

“Permudahkan, jangan persulitkan”.

Asmaaliff Abdul Adam
– Pengarah Pilihanraya Pemuda AMANAH Nasional
– Ketua Pemuda PAKATAN HARAPAN Wilayah Persekutuan