Kerajaan jumpa alasan gangguan bekalan telur

Kerajaan jumpa alasan gangguan bekalan telur

Situasi peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam secara mendadak antara punca yang menyumbang kepada gangguan bekalan ketika ini di beberapa negeri.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, lonjakan itu berlaku sebelum, semasa dan selepas Tahun Baharu Cina.

“Selain itu, terdapat ladang ayam tidak beroperasi sepanjang cuti umum perayaan tersebut, malah ada yang ditutup lebih lama daripada dua hari kelepasan am berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini sebagai merujuk isu bekalan telur berkurangan agak teruk di pasaran selepas sambutan Tahun Baharu Cina awal bulan ini.

Keadaan tersebut menyebabkan beberapa tempat di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak ketiadaan bekalan telur apabila peniaga turut kehabisan stok simpanan mereka.

Azman berkata, terdapat syarikat logistik yang juga tidak beroperasi sepanjang cuti umum berkenaan, bahkan ada bercuti lebih dua hari daripada perayaan tersebut.

“Semua faktor itu telah menyumbang kepada kelewatan dalam rantaian pembekalan telur ayam yang sudah terjejas dari peringkat ladang kepada pemborong dan peruncit. Secara purata rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur unggas itu di seluruh negara setiap hari atau 930 juta biji sebulan dengan bekalan daripada 50 syarikat.

“Mereka mewakili 80 peratus daripada keseluruhan pengeluaran telur ayam di Malaysia dengan sejumlah 839,281,658 biji dikeluarkan sepanjang Disember tahun lalu. Unjuran bagi bulan lepas pula adalah 839,882,296 biji manakala sehingga semalam, sebanyak 91 peratus ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan.

“Ini berdasarkan pemantauan dilaksanakan dan ia menunjukkan bahawa bekalan adalah stabil selain mampu untuk memenuhi permintaan semasa oleh pengguna,” tambahnya.

Pegawai penguat kuasa kementerian itu jelasnya, sentiasa melakukan pemeriksaan setiap hari ke atas kedudukan bekalan barang keperluan utama dalam setiap rantaian pengedaran, termasuk pemantauan berterusan terhadap keberadaan stok ayam, gula, minyak masak, pelbagai jenis sayur-sayuran, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung dan bawang.

Justeru jelasnya, kementerian itu yakin bekalan telur akan kembali stabil dan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila semua ladang ayam dan syarikat logistik beroperasi sepenuhnya.