Kerajaan kata kenaikan harga barang masih terkawal

Kerajaan kata kenaikan harga barang masih terkawal

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan terdapat kenaikan harga barangan basah seperti yang dilaporkan media, namun dalam kadar yang terkawal.

KPDNHEP dalam kenyataan berkata, pemantauan mendapati terdapat kenaikan harga membabitkan ayam, telur ayam, dan sayur-sayuran.

Menurutnya, KPDNHEP sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan untuk menangani masalah kenaikan harga menerusi Ops Pasar, Ops Menu dan Ops Catut.

“KPDNHEP telah memeriksa 72 lokasi tumpuan seperti pasar awam,pemborong, pembekal, peruncit peringkat pembekal, dan peruncit di seluruh negara melibatkan 199 jenis sayur-sayuran.

“Daripada 72 lokasi diperiksa sebanyak 140 Notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada peniaga berkaitan,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP akan menetapkan harga siling jika isu kenaikan harga barangan keperluan harian ini semakin meruncing seperti yang dilaksanakan ke atas barang basah semasa musim perayaan.

“Mereka akan melaksanakan sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mencari penyelesaian terbaik membabitkan masalah itu.

“Sesi libat urus bersama pemain industri berkaitan bertujuan mencari kaedah terbaik bagi menyekat kenaikan harga secara mendadak di pasaran,”katanya, menurut laporan Malaysiapost.