Kerajaan Kelantan mengaku memang ada pembalakan haram di Kelantan, tapi tak serius
Kerajaan negeri Kelantan mengakui berlaku pembalakan haram dan penerokaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembalakan haram ini berlaku di seluruh negara yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, namun ia tidak serius di Kelantan.
“Pembalakan haram memang ada (di Kelantan), misalnya ada orang kampung hendak buat kebun, dia hendak tanam durian, kelapa sawit, jadi dia tebang hutan simpan” katanya seperti dilapor media tempatan.
Pun begitu, beliau menegaskan dari segi undang-undang kegiatan menceroboh hutan simpan memang salah, justeru pihaknya tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan.
Ditanya mengenai dakwaan punca pembalakan haram yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Mohd Amar berkata, tanggapan itu tidak betul.
“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan. Kita ada baca kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang menyebut harimau masuk kampung sebab harimau kena penyakit.
“Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa. Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul.
“Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak. Benda itu bukan begitu,” katanya.
Mohd Amar berkata, pihak Perhilitan juga kini sedang berusaha untuk memburu dua ekor harimau dan kerajaan percaya apa yang dibuat Perhilitan masalah ini boleh diselesaikan.
“Setakat semalam, Perhilitan belum dapat mengesan dua harimau yang merayau dan haiwan itu juga tidak masuk ke kampung selepas seekor daripadanya ditembak.
“Kita juga menasihatkan Orang Asli supaya tidak keluar rumah dan mereka mendengar nasihat yang diberikan.
“Pelbagai pihak juga menghulurkan bantuan kepada Orang Asli untuk meneruskan kehidupan dan setakat ini juga kita tidak ada perancangan untuk memindahkan mereka memandangkan, penduduk di situ lebih selesa berada di kampungnya berbanding lokasi baru,” katanya.