Kerajaan lanjutkan moratorium pinjaman selama dua tahun
Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan lagi tempoh moratorium khusus kepada peminjam bagi kategori B50 ke bawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha meringankan beban rakyat.
“Bagi meringankan beban rakyat, moratorium yang akan tamat pada 31 Disember ini akan disambung lagi selama dua tahun kepada peminjam B50 ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, kerajaan juga telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 selain turut melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang dibuka untuk permohonan sehingga 31 Januari 2022.
Selain itu, Ismail Sabri menyatakan kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif dalam membantu rakyat menerusi Bajet 2022.
“Antaranya adalah, Bantuan Keluarga Malaysia, bantuan awal persekolahan, rancangan makanan tambahan anak-anak miskin, PerantiSiswa Keluarga Malaysia, dan Program JaminKerja dan Latihan MySTEP.
“Kerajaan juga telah aktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) bagi membentuk dasar keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi jangka masa panjang,” katanya lagi.