Kerajaan Pas Kelantan sifatkan pusat akuatik sedia ada tidak patuh syariah

Kerajaan Pas Kelantan sifatkan pusat akuatik sedia ada tidak patuh syariah

Kelantan akan membina sebuah pusat akuatik patuh syariah di negeri ini dalam masa terdekat sebagai persediaan menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-22 yang dijadualkan berlangsung pada 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM20 juta untuk pembinaan pusat itu yang terletak di Islamic City Centre, Tiong di Kota Bharu.

“Pembinaan kompleks renang itu akan mengikut spesifikasi untuk acara renang yang melibatkan pelbagai kategori. Ia akan digunakan untuk lelaki dan wanita mengikut jadual dengan mematuhi syariah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peserta Akademi As- Sibahah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) 2020 kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Beliau berkata Kelantan menyasarkan pingat emas bagi acara renang pada temasya sukan itu dengan mempertaruhkan 20 atlet muda (10 lelaki dan 10 wanita) dari Akademi As-Sibahah.

“Kita memilih atlet-atlet renang yang berusia 13 tahun dari akademi ini kerana kita mempunyai masa enam tahun untuk melatih mereka mencapai sasaran emas bagi acara renang,” katanya, lapor Malaysiakini.

Wan Roslan berkata kesemua atlet itu merupakan pengambilan pertama yang diselia U-BeS tahun lepas, terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Yayasan Islam Kelantan sekitar daerah ini.