Kerajaan Sarawak beri gula-gula menjelang PRN, penjawat awam terima bantuan satu setengah bulan gaji

Kerajaan Sarawak beri gula-gula menjelang PRN, penjawat awam terima bantuan satu setengah bulan gaji

 

PENJAWAT awam Sarawak bakal menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah satu setengah bulan gaji.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika pembentangan Bajet Sarawak 2022 susulan Mesyuarat Khas Bajet Negeri di Pusat Konvensyen Borneo di Kuching hari ini, lapor Astro Awani.

“Sebagai menghargai khidmat bakti dicurahkan penjawat awam dalam mengurus jentera kerajaan khususnya menangani suasana getir pandemik ini, saya dengan amat berbesar hati mengumumkan pemberian satu setengah bulan Bantuan Khas kewangan buat penjawat awam negeri,” katanya.

Abang Johari menambah, penjawat awam Persekutuan di Sarawak akan turut menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 seorang sebagai penghargaaan terhadap sumbangan mereka dalam memakmurkan negeri itu.

Menerusi Bajet 2022, Abang Johari mengumumkan bajet kali ini merekodkan jumlah tertinggi dalam sejarah Sarawak dengan RM10.646 bilion.

“Pendapatan negeri dianggarkan sebanyak RM10.036 bilion dan ini menyaksikan jangkaan defisit sekitar RM610 juta. Bajet Sarawak 2022 menggariskan lapan teras strategik yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan hidup rakyat.

“Antara perkara penting dilaksanakan termasuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0 dengan peruntukan RM285.47 juta,” katanya.