Kerajaan terus benarkan penjualan minuman keras di kedai runcit

Kerajaan terus benarkan penjualan minuman keras di kedai runcit

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan penguatkuasaan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka di ibu negara yang sepatutnya dijadual berkuatkuasa esok.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan ia ditangguhkan sehingga 31 Oktober 2021 yang bertujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

“DBKL ingin merujuk kepada satu Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang telah digunapakai berkuatkuasa pada 15 November 2020 dan telah dimuatnaik di laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my/.

“Garis panduan LMK tersebut menyatakan bermula 1 Oktober 2021 penjualan minuman keras (liquor) di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat cina tidak dibenarkan.

“Walau bagaimanapun larangan ini ditangguhkan bagi tempoh satu bulan mulai 1 Oktober 2021 sehingga 31 Oktober 2021,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kemudahdapatan dan aksesibiliti liquor telah menjadi aduan dan bantahan, kerana ianya mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan orang ramai.

“Pada masa ini pemilik LMK runcit masih dibenarkan menjual minuman keras jenis liquor di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat cina sehingga 31 Oktober 2021,” katanya, lapor Malaysiapost.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata penguatkuasaan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka di ibu negara akan dimuktamadkan hari ini.

Menurutnya, ia dibincang dan diputuskan Lembaga Eksais DBKL dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Projek Khas yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan peraturan baharu tersebut.