Kerajaan umum harga ayam dan telur akan naik bulan depan
Harga ayam dan telur dijangka meningkat selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia berakhir pada 4 Feb, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan situasi “menang-menang” antara kumpulan pengguna dan petani di negara ini.
Nanta berkata kenaikan harga itu diputuskan menerusi sesi perjumpaan antara kementeriannya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.
“Dalam perbincangan semalam, beberapa persatuan peladang mengadu mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat termasuk kos import makanan ayam.
“Ketika ini harga runcit maksimum seekor ayam keseluruhan ialah RM9.10 sekilogram dan dikatakan rendah, justeru mereka masih mempertimbangkan keputusan menaikkan harga ayam bagi melindungi pengguna dan peniaga,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di SMK Sungai Rambai, di sini hari ini.
Turut hadir ADUN Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Hasnol Zam Zam dan pengarah negerinya Norena Jaafar.
Susulan kemungkinan kenaikan harga itu, Nanta menyeru orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan sedemikian sambil memberi jaminan kementeriannya akan terus mencari mekanisme terbaik untuk melindungi kepentingan pengguna, peniaga dan penternak.
“Saya harap pengguna memahami kerumitan masalah ini. Ia tidak semudah yang kita sangka kerana jika penternak tidak mampu untuk mengeluarkan (lebih banyak ayam), akhirnya kita yang akan terjejas apabila tiada bekalan.
“Bagaimanapun, keputusan kenaikan harga yang dicapai semasa itu bergantung kepada pelaksanaan beberapa strategi lain termasuk mengimport ayam dari luar negara yang kami percaya mampu menstabilkan harga ayam.”