Kerajaan umum tiada lagi harga siling: Ayam, telur, minyak akan naik melambung

Kerajaan umum tiada lagi harga siling: Ayam, telur, minyak akan naik melambung

Kawalan harga siling ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) tidak diteruskan mulai 1 Julai ini, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri ayam di sini hari ini, Nanta berkata langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.

“Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar,” katanya maklumat lanjut mengenai bantuan wang bersasar itu akan dibuat Kementerian Kewangan.

Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam. Susulan penamatan subsidi itu, pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan mengapungkan harga ayam.

Nanta dalam sidang media itu memaklumkan, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan ditawarkan kepada pengguna pada harga RM2.50 sepeket, masih diteruskan.

Mengenai pemansuhan subsidi minyak masak sawit tulen itu dalam kemasan botol itu, beliau berkata subsidi barangan tersebut mencecah RM20 juta sebulan.

“Program ini adalah program sementara dan sepatutnya dilaksanakan dalam masa tiga bulan tetapi ia diteruskan hingga hari ini.

“Oleh itu, kerajaan rasakan sudah tiba masanya ia dimansuhkan supaya kerajaan boleh lebih fokus untuk bantu golongan memerlukan,” katanya, memetik Bernama.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos tahun lepas, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol lima kilogram.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol  lima kilogram adalah pada harga RM29.70 sebotol, botol satu kilogram (RM6.70), dua kilogram (RM12.70) dan tiga kilogram (RM18.70).

Dalam sesi libat urus hari ini, Nanta berkata pemain industri ayam memberi jaminan yang kenaikan harga ayam tidak akan naik secara mendadak.

“Yang menarik untuk diterima adalah komitmen industri ini untuk bantu kerajaan dalam memastikan pengguna mendapat harga dan bekalan keperluan khususnya ayam, dengan harga berpatutan dan stabil,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada, sekiranya terdapat pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara berlebihan.

“KPDNHEP akan gunakan akta anti pencatutan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pemain industri jika langgar peraturan sedia ada,” katanya.

Ditanya adakah subsidi tepung akan dimansuhkan, beliau berkata subsidi barangan itu masih diteruskan ketika ini dan ia tidak dimansuhkan.

COMMENTS