Kerana baling batu dan tendang kucing, lelaki ini direman polis

Kerana baling batu dan tendang kucing, lelaki ini direman polis

Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki yang tergamak membaling batu dan menendang dua ekor kucing seperti tular di media sosial baru-baru ini, menerima padah apabila dia ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok di sini kira-kira jam 1.29 petang semalam.

Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Sewaktu disoal siasat, lelaki itu mendakwa dia mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

“Malah keluarganya juga mendakwa suspek sebelum ini adalah pencinta haiwan dan banyak membela kucing di rumahnya,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, tular dua rakaman CCTV dengan satu daripadanya menunjukkan lelaki tersebut menendang seekor kucing hingga melambung dan mengenai keretanya.

Satu lagi rakaman memaparkan lelaki itu membaling batu ke arah seekor kucing sedang makan hingga mengakibatkan haiwan tersebut seakan menggelupur menahan sakit.

Zaidy menambah, kedua-dua kucing tersebut diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah untuk diselamatkan dan diberikan rawatan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 oleh pihak Jabatan Veterinar Kedah yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000, tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.”